
PUTRAJAYA: Seorang pengurus syarikat sebuah agensi yang menawarkan perkhidmatan kewangan dan korporat ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai bernilai kira-kira RM200 juta.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 3 Oktober ini terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Illya Syaheedah Mohd Razif selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu telah ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2026.
Suspek juga dipercayai telah memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa selain memanipulasi kira-kira 480 akaun syarikat dengan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai di samping mengumpul kekayaan melalui aktiviti tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN
The post Pengurus syarikat perkhidmatan kewangan disyaki kemuka dokumen palsu RM200 juta appeared first on Utusan Malaysia.






