
HULU TERENGGANU: Hampir tiga dekad mengemudi bot laju di Tasik Kenyir di sini, seorang wanita warga emas menyimpan pelbagai kenangan pahit dan manis sepanjang mencari rezeki di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu, termasuk berdepan ribut.
Bagi Tengku Embat Tengku Ngah, 73, atau lebih dikenali sebagai Mok Ku, pengalaman paling mencemaskan adalah apabila bot dipandunya dilanda ribut ketika membawa pelancong mengelilingi Tasik Kenyir.
Dia yang mula mengemudi bot pada 1997 berkata, detik tersebut masih segar dalam ingatannya kerana ketika itu hanya mampu menangis dan berdoa, memohon ribut segera reda demi keselamatan semua penumpang.
“Ketika itu, saya baharu sahaja menjadi pemandu bot. Saya hanya mampu menangis dalam bot sambil berdoa supaya ribut cepat reda. Sewaktu ribut melanda, saya membawa enam sekeluarga yang mahu melawat stesen jana kuasa yang ketika itu dibuka kepada pelancong.
“Bagaimanapun ribut melanda saya tetap meneruskan perjalanan kerana bahaya jika berhenti memandangkan arus di tasik tidak sama dengan ombak di laut. Nasib baik ribut tidak lama dan saya bersama pelancong sampai ke stesen jana kuasa dengan selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mok Ku berkata, dia mula mengemudi bot laju selepas kematian suami bagi meneruskan perusahaan keluarga dan membesarkan enam anak yang ketika itu masih kecil.
Katanya, meskipun pekerjaan tersebut lazimnya didominasi golongan lelaki, dia tidak pernah menjadikan faktor jantina atau usia sebagai penghalang untuk mencari rezeki.
“Dulu bot laju tidak banyak dan boleh dikira. Pendapatan ketika itu juga agak lumayan kerana persaingan tidak begitu sengit,” katanya. – UTUSAN
The post Tiga dekad kemudi bot, Mok Ku pernah menangis appeared first on Utusan Malaysia.






