IPOH - Pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pengukuhan kedudukan kewangan kerajaan negeri dijangka menjadi tiga dimensi utama yang perlu diberikan perhatian dalam Belanjawan Negeri Perak 2027 bagi memastikan pembangunan negeri lebih mampan.
Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, belanjawan berkenaan perlu menjadi instrumen transformasi ekonomi negeri daripada bergantung kepada hasil tradisional kepada ekonomi yang mampu menjana pelaburan, pekerjaan berkualiti serta kekayaan rakyat.
Menurutnya, Perak mempunyai potensi besar mempercepat pembangunan ekonomi menerusi lima nod pertumbuhan strategik yang sedang dirancang, namun kejayaannya perlu diukur berdasarkan impak langsung kepada pendapatan rakyat dan perusahaan tempatan.
“Belanjawan Negeri Perak 2027 perlu memberikan tumpuan kepada tiga agenda utama iaitu pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pengukuhan kewangan kerajaan negeri.
“Pertumbuhan ekonomi yang baik mestilah diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan kekayaan isi rumah,” katanya.
Barjoyai berkata, lima nod pertumbuhan iaitu Automotive High-Tech Valley (AHTV), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP), Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Silver Valley Technology Park (SVTP) dan Perak Halal Industrial Park (HIP) perlu disokong dengan kesiapsiagaan infrastruktur, tenaga kerja mahir serta penglibatan perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan.
Katanya, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), politeknik, universiti serta pusat latihan perlu bekerjasama dengan industri bagi memastikan latihan ditawarkan memenuhi keperluan pasaran kerja.
“Latihan tidak boleh dibuat secara umum sahaja. Ia mesti berdasarkan permintaan sebenar industri, termasuk bidang automotif pintar, EV (kenderaan elektrik), semikonduktor, teknologi hijau, logistik, kejuruteraan dan pemprosesan makanan halal.
“Kita juga perlu memastikan perusahaan tempatan berpeluang menjadi pembekal, kontraktor, pengedar dan penyedia perkhidmatan kepada industri berkenaan,” jelasnya.
Dalam aspek kesejahteraan rakyat, beliau berpandangan inisiatif menangani kos sara hidup seperti Pasar Sejahtera Rakyat Perak, Kad Perak Sejahtera dan Bas Perak Sejahtera wajar diteruskan serta ditambah baik.
Bagaimanapun, katanya, bantuan perlu disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan selain sebahagiannya diperkukuh melalui bantuan produktif seperti modal perniagaan mikro, latihan keusahawanan dan akses pasaran.
Beliau turut mencadangkan kerajaan negeri memperluas sumber hasil melalui pembangunan tanah secara produktif, pelancongan, pengoptimuman aset dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta penerokaan sektor teknologi, tenaga hijau dan ekonomi digital.
Belanjawan Negeri Perak 2027 dijadual dibentangkan pada 24 November ini sempena Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15.





