

LUMUT: Kegiatan licik sindiket curi kenderaan yang menyasarkan pacuan empat roda tumpas selepas tiga individu termasuk dua wanita ditahan dalam operasi Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 5.30 petang hasil maklumat dan risikan susulan laporan kehilangan sebuah Toyota Hilux di Taman Mas 2, Sitiawan.
Menurutnya, laporan berhubung kehilangan kenderaan itu diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 10.06 pagi, sehari sebelum tangkapan dilakukan.
“Hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku terbabit dalam lapan kes kecurian kenderaan pacuan empat roda iaitu empat kes di Perak dan empat lagi di Kuala Lumpur.
“Kesemua kes dipercayai dilakukan menggunakan modus operandi sama dengan menyasarkan kenderaan pacuan empat roda,” katanya di sini hari ini.
Hasbullah berkata, polis turut merampas sebuah alat pembaca kunci kereta yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kenderaan serta beberapa barangan lain.
Katanya, ketiga-tiga suspek kini direman selama enam hari bermula 28 Oktober hingga 2 November ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi IPD Manjung menerusi talian 05-6886222 atau WhatsApp Hotline 017-6828005,” katanya. – UTUSAN
The post Tiga individu ditahan, disyaki curi lapan pacuan empat roda appeared first on Utusan Malaysia.






