
LUMUT – Tiga suspek kes curi lapan buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Perak dan Kuala Lumpur ditahan polis menerusi satu operasi di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 10.06 pagi Isnin lalu menerima laporan dari seorang lelaki berhubung kehilangan sebuah Toyota Hilux di Taman Mas 2, Sitiawan.
“Hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, pada 27 Oktober 2026 kira-kira pukul 5.30 petang, sepasukan polis dari IPD Manjung telah berjaya menahan seorang lelaki dan dua wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian ini.
“Polis turut merampas sebuah alat pembaca kunci kereta yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kenderaan serta beberapa barangan lain,” katanya di sini hari ini.
Hasbullah berkata, hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku terlibat dalam lapan lapan kes kecurian kenderaan iaitu empat di Perak dan empat di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, mereka menggunakan modus operandi yang sama dengan menyasarkan kenderaan pacuan empat roda.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama enam hari bermula 28 Oktober hingga 2 November 2026 untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga suspek kes curi lapan kenderaan 4WD di Perak, KL diberkas appeared first on Kosmo Online.






