Tiga individu ditahan, edar arak tiruan terbongkar

10 Sep 2026 • 6:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga individu ditahan, edar arak tiruan terbongkar
Antara minuman keras tiruan yang dirampas.

PUTRAJAYA – Kegiatan menghasilkan dan mengedarkan minuman keras tiruan terbongkar susulan penahanan tiga individu dalam serbuan di sebuah premis di sini pada 7 September lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, tiga individu yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang wanita warga Vietnam.

"Hasil pemeriksaan menemukan 1,262 botol minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai siap untuk diedarkan.

“Turut ditemukan ribuan botol kosong, bancuhan disyaki arak, pati alkohol, pati karamel dan pati perisa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Azman berkata, Ooperasi itu hasil risikan dan perkongsian maklumat antara KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan tujuh pegawai penguat kuasa KPDN bersama seorang pegawai kanan dan 13 anggota polis.

"Kita turut menyita dua mesin penutup botol, sebuah pam, pelbagai label, penutup botol dan bahan pembungkusan serta satu gulung pelekat yang menyerupai pelekat cukai kastam,":katanya.

Katanya, sebuah kenderaan dan beberapa unit telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan turut disita, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM206,630.

“Penemuan minuman keras yang siap dibotolkan bersama bahan mentah, peralatan pembotolan, botol kosong, label dan bahan pembungkusan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan menghasilkan serta membungkus minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rantaian pengedaran dan pihak lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

“KPDN memandang serius kegiatan penghasilan dan pengedaran barangan tiruan yang boleh mengelirukan pengguna serta menjejaskan kepentingan pemilik cap dagangan yang sah," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved