Polis bongkar gudang barangan China, rampasan cecah RM12.8 juta

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 8:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Polis bongkar gudang barangan China, rampasan cecah RM12.8 juta

SHAH ALAM, 21 OGOS: Polis merampas pelbagai barangan dari China bernilai RM12.8 juta yang disyaki dibawa masuk menggunakan pengisytiharan tidak sepadan sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Gerakan/Operasi) Bukit Aman Datuk Muhammad Abdul Halim berkata rampasan dibuat menerusi tiga serbuan Op Taring Alpha 2 dan Op Taring Alpha 5 di Kuala Lumpur serta Klang, Selangor.

Lima individu terdiri tiga lelaki tempatan dan dua warga Myanmar turut ditahan, lapor Berita Harian.

“Hasil siasatan awal kita dapati kebanyakan daripada serbuan awal mereka bawa masuk melalui pelabuhan-pelabuhan dengan barangan terbabit diisytihar lain, yang dibawa masuk adalah lain.

“Semua individu yang ditahan direman tertakluk di bawah aturan yang dibenarkan dan kita akan sambung reman jika ada keperluan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Muhammad berkata Op Taring Alpha 2 dilaksanakan pada 5 Ogos di dua lokasi sekitar Kuala Lumpur yang dipercayai dijadikan gudang penyimpanan dan pengedaran minuman keras serta produk makanan dari China yang tidak mematuhi peraturan.

Tiga individu terdiri dua warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan ditahan, manakala rampasan keseluruhan bernilai RM5.1 juta.

“Operasi itu membawa kepada rampasan 2,112 tin dan 3,696 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM2.57 juta.

“Turut dirampas 4,092 botol minuman keras serta pelbagai produk makanan dan minuman dari China dalam bentuk paket, kotak dan botol bernilai kira-kira RM456,000,” katanya.

Menurutnya, premis terbabit dipercayai menjadi lokasi penyimpanan sebelum barangan diedarkan kepada pelanggan tempatan termasuk kedai runcit dan premis makanan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian bekalan dan kaedah kemasukan serta pihak yang disyaki mempunyai kaitan dalam aktiviti berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Op Taring Alpha 5 di Klang pada hari sama membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan serta rampasan bernilai RM7.7 juta.

Antara barangan dirampas ialah minuman keras dari China bernilai RM2.1 juta, 49,000 batang rokok putih bernilai hampir RM300,000, 1,800 topi keledar (RM1.8 juta), 780 set aksesori telefon (RM936,000), produk kecantikan (RM2.29 juta) dan 260 pokok bonsai (RM260,000).

Siasatan mendapati gudang berkenaan dipercayai menjadi pusat pengumpulan dan pengedaran barangan import sebelum dipasarkan.

“Produk yang dirampas mempunyai permintaan dalam kalangan warga China di negara ini, selain turut mendapat permintaan penduduk tempatan,” kata Timbalan Pengarah JKDNKA, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Muhammad berkata sejak Januari hingga hari ini, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman melaksanakan 240 serbuan di seluruh negara dengan 413 individu ditahan dan rampasan keseluruhan bernilai RM314 juta.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved