RM314 juta barangan seludup termasuk bongsai, arak dirampas sejak Januari

21 Aug 2026 • 5:05 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM314 juta barangan seludup termasuk bongsai, arak dirampas sejak Januari

KUALA LUMPUR – Pelbagai barangan seludup bernilai RM315 juta berjaya dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi 240 serbuan di seluruh negara sejak Januari hingga semalam.

Operasi itu turut berjaya menahan seramai 413 individu dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta e-waste.

Kejayaan terbaharu direkodkan menerusi Op Taring Alfa 2 dan Op Taring Alfa 5 di dua buah premis di ibu negara pada 5 Ogos lalu dan Klang, Selangor yang membawa kepada lima tangkapan dan rampasan keseluruhan bernilai RM12.8 juta.

Timbalan Pengarah Gerakan dan Operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30an bertindak sebagai pekerja premis.

Katanya, serbuan di dua lokasi di Kuala Lumpur menerusi Op Taring Alfa merampas sebanyak 2,112 tin dan 3,696 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM2.57 juta.

“Selain itu, sebanyak 4,092 botol Zhongpi bernilai RM2.7 juta serta pelbagai produk makanan dan minuman dari China bernilai RM456,000 turut dirampas.

“Keseluruhan rampasan Op Taring Alfa 2 berjumlah RM5.1 juta dan menahan tiga individu,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Op Taring Alfa 5 pula menahan dua lelaki tempatan selain merampas pelbagai barangan termasuk minuman keras, rokok tidak bercukai, topi keledar, aksesori telefon, produk kecantikan dan tumbuhan hidup.

“Antara rampasan utama adalah minuman keras dari China bernilai RM2.1 juta, 245 karton rokok putih bersamaan 49,000 batang bernilai hampir RM300,000 dan 1,800 topi keledar bernilai RM1.8 juta.

“Turut dirampas 780 set aksesori telefon bernilai RM936,000, produk kecantikan bernilai RM2.29 juta dan 260 pokok bonsai bernilai RM260,000,” katanya.

Muhammad berkata, keseluruhan rampasan menerusi Op Taring Alfa 5 bernilai RM7.7 juta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua gudang berkenaan dipercayai dijadikan pusat pengumpulan sebelum barangan berkenaan diedarkan kepada pelanggan tempatan termasuk peniaga kedai runcit dan premis makanan.

“Maklumat awal juga mendapati aktiviti berkenaan sudah berjalan lebih enam bulan, manakala kesemua barangan yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari China menerusi pelabuhan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian bekalan, kaedah kemasukan serta pihak yang mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post RM314 juta barangan seludup termasuk bongsai, arak dirampas sejak Januari appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved