Tiga pasangan didakwa edar ekstasi, miliki ketamin

28 Aug 2026 • 5:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga pasangan didakwa edar ekstasi, miliki ketamin
Antara tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Tawau.

TAWAU - Enam individu melibatkan tiga pasangan didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi dan memiliki ketamin di Mahkamah Majistret Tawau pada Jumaat.

Mereka didakwa selepas ditahan dalam serbuan oleh pihak polis di sebuah inap desa di Taman Nordin, Jalan Kuhara, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi, Rabu lalu.

Semasa pendakwaan, tertuduh, Lisyanti Ibrahim, 39; Andi Moh Arifai Tatta, 29; Chang Vui Hiung, 28; Sherlin Liew Zi Ling, 25; Muhammad Haikal Daniel Azman, 22; dan Shazzreena, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki ketamin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar dadah jenis ekstasi kerana pertuduhan berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Menurut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama didakwa memiliki ketamin seberat 1.16 gram dan mengedar dadah berbahaya jenis MDMA iaitu ekstasi seberat 659.16 gram.

Bagi pertuduhan memiliki ketamin, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 bagi pertuduhan mengedar dadah, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Semua tertuduh mengaku faham selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Majistret menetapkan 18 September depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Selain itu, tiada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Jeffery Kadison namun kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menyerbu rumah inap tersebut selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketika serbuan, kesemua enam individu ditemukan berada di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah yang dipercayai disewa untuk sambutan hari lahir.

Pemeriksaan di dalam bilik itu menemukan pinggan kaca mengandungi serbuk putih disyaki ketamin, sekeping kad dan sebatang rokok yang turut disyaki mempunyai kesan dadah berkenaan.

Polis turut menemukan sebuah jag kaca mengandungi cecair berwarna oren yang disyaki mengandungi ekstasi sebelum kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved