
GEORGE TOWN – Tiga warga tempatan termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai menceroboh kawasan larangan di struktur Jambatan Pulau Pinang di sini dengan melakukan aktiviti memancing ikan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, penahanan dilakukan ketika pasukannya melaksanakan rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Pinang, kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di kawasan kaki tiang Jambatan Pulau Pinang mendapati individu berkenaan berada di kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) tanpa kebenaran.
“Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan larangan. Mereka telah ditahan sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau, kawasan di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua merupakan KLTL yang meliputi zon penampan sejauh 250 meter di sebelah kiri dan kanan jambatan. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga individu ditahan memancing bawah Jambatan P. Pinang appeared first on Kosmo Digital.






