
KIMANIS: Enam orang termasuk tiga kanak-kanak mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Malawaring berhampiran Kampung Nyaris-Nyaris, Ahad lalu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata enam anggota diketuai Pegawai Kanan Railey Gabik dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 11 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.32 petang.
Kemalangan itu membabitkan sebuah Toyota Innova, Perodua Myvi dan Perodua Kancil.
Lima daripada mangsa yang cedera menaiki Toyota Innova, terdiri daripada seorang lelaki berusia 49 tahun yang merupakan pemandu, seorang wanita berusia 35 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
Perodua Kancil yang dipandu lelaki berusia 50 tahun turut terbabit dalam kemalangan itu, dengan pemandunya mengalami kecederaan pada bahagian dada.
Pemandu Perodua Myvi, seorang lelaki berusia 61 tahun, tidak mengalami kecederaan.
Kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.






