KUALA TERENGGANU - Tiga kedai di lot perkedaian hadapan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini disita selepas didapati beroperasi tanpa lesen yang sah dalam satu operasi bersepadu, pada Selasa.
Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, tindakan tegas itu diambil dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu bermula jam 11 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga premis berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3 (1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBKT) 2013.
"Susulan pelanggaran peraturan itu, kuasa penyitaan telah dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil 38, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBKT) 2013.
"Premis-premis yang terlibat dalam tindakan sitaan ini ialah Syafiqah Maju Enterprise, Cahaya Tanjung Enterprise dan RR Damai Jaya Trading," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
**media[3545657]**
Menurut Lizan, kesemua peralatan serta barangan jualan yang berada di dalam premis berkenaan juga telah disita.
"Barangan yang disita dibawa ke stor rampasan Bahagian Penguatkuasaan dan Perkhidmatan Letak Kereta MBKT yang terletak di Chendering untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, operasi bersepadu di kawasan tumpuan ramai itu berakhir sepenuhnya jam 1.30 tengah hari.
Sebelum ini tular di media sosial gambar premis terbabit yang didakwa dimonopoli oleh warga asing untuk menjalankan perniagaan.






