JOHOR BAHRU – Polis Johor membuka tiga kertas siasatan berhubung tiga kes pemasangan bendera terbalik yang tular di media sosial, dengan lima individu sudah ditahan setakat ini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata,tiga kes berkenaan membabitkan lokasi di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Iskandar Puteri dan Johor Bahru Selatan.
Menurutnya, siasatan terhadap kes berkenaan masih berjalan sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk mendapatkan keputusan lanjut.
“Setakat ini kita ada tiga kes tular. Kita telah buat tangkapan dan siasatan masih dijalankan.
“Bila dah lengkap, kita akan rujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk dapat satu keputusan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Khamis.
Sebelum itu pada Isnin, sebuah premis perindustrian di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) di Kawasan Perindustrian Indahpura, ditutup sementara selepas didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
Seterusnya pada Rabu, sebuah premis perindustrian kilang di Kawasan Perindustrian SILC, Iskandar Puteri dilaporkan memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor terbalik serta tular di media sosial.
Chuan Huat memberitahu, daripada lima tangkapan itu, dua dibuat bagi kes di Kulai, manakala tangkapan turut dibuat bagi kes di Iskandar Puteri dan Seri Alam.
Mengulas tindakan pendakwaan bagi kes di Kulai, beliau berkata, pihaknya perlu melengkapkan dan merujuk kertas siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemilik premis supaya mengambil tanggungjawab terhadap pemasangan Jalur Gemilang, termasuk memastikan pekerja yang ditugaskan memahami kaedah pemasangan yang betul.
Katanya, perkara itu penting khususnya apabila pemasangan dilakukan oleh warga asing yang mungkin tidak mengetahui tatacara sebenar mengibarkan Jalur Gemilang.
“Sepatutnya sebagai pemilik atau pihak yang bertanggungjawab memasang bendera ini, kita kena tunjuk cara pemasangan yang betul.
“Selepas pasang, sekurang-kurangnya penyeliaan perlu dibuat, seperti ambil gambar dan hantar kepada penyelia yang bertanggungjawab untuk melihat sama ada betul atau tidak,” katanya.
Beliau berkata, semangat mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan perlu disertai tanggungjawab memastikan bendera dipasang dengan cara yang betul dan dihormati.






