
ALOR SETAR – Seramai 90 individu termasuk pegawai dan anggota polis Kedah dikenakan tindakan siasatan tatatertib sepanjang tahun ini sehingga Jun lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mereka terdiri daripada 11 pegawai kanan polis (PKP), 76 pegawai rendah polis (PRP) dan tiga pegawai awam (PA) melibatkan 69 kertas siasatan tatatertib (KST) atas pelbagai kesalahan seperti jenayah dan dadah.
Katanya, rekod pada tahun lalu pula mencatatkan seramai 294 individu terdiri 39 PKP, 248 PRP dan tujuh PA dengan 155 KST dibuka.
“Kalau kita tengok alirannya, tahun lepas 294 individu berbanding dalam tempoh enam bulan (tahun ini) baru 90 individu, memang nampak penurunan. Tetapi ia masih lagi melahirkan perasaan bimbang kepada saya sebagai ketua polis di sini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Flag-Off Kibar Bendera Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-69 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
Kata beliau, daripada jumlah kertas siasatan dibuka tahun ini, antaranya adalah kesalahan jenayah adalah 33 kes, 24 kes dadah, tujuh kes rasuah, komersial empat kes dan syariah tiga kes.
Sementara itu, katanya, Polis Diraja Malaysia turut mengambil tindakan tahan kerja, gantung kerja dan buang kerja kepada individu terlibat tanpa mengira pangkat.
“Tahan kerja sahaja 67 orang daripada 2021 hingga Jun 2026 iaitu daripada pegawai kanan hingga pegawai rendah. Daripada 67 orang ini, kesalahan dadah paling ramai iaitu seramai 25 orang, jenayah (19), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (16), syariah (tiga), trafik (dua) dan lain-lain.
“Gantung kerja adalah seramai 10 orang daripada tempoh 2023 hingga Jun 2026. Sementara tindakan buang kerja melibatkan 10 individu terdiri empat kes salah laku, tiga kes SPRM, dua dadah dan satu kes syariah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post 90 warga polis Kedah dikenakan tindakan tatatertib appeared first on Kosmo Digital.






