Tiga lelaki warga asing didakwa bunuh Rosdi di kebun sawit

20 Aug 2026 • 6:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga lelaki warga asing didakwa bunuh Rosdi di kebun sawit
Image from: Tiga lelaki warga asing didakwa bunuh Rosdi di kebun sawit
Gambar tular memaparkan polis melaksanakan siasatan di lokasi kejadian kes bunuh di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting pada 9 Ogos lalu.

KUALA LANGAT - Tiga lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Khamis atas satu pertuduhan membunuh seorang pengusaha kebun sawit, dua minggu lalu.

Indra Apriyan, 22, Dedi Saputra, 33, dan Eko Hariyanto, 39, yang merupakan pekerja kebun mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.

Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Rosdi Tulus, 49, di kawasan kebun kelapa sawit di Kebun 55, Jalan Kampung Sungai Kelambu, Banting, pada jam 11 pagi 9 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, jika sabit kesalahan.

**media[3621149]**

Jika tidak dihukum mati, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan mahkamah menetapkan 22 September depan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, ketiga-tiga lelaki itu masing-masing dihukum penjara enam bulan bermula dari tarikh tangkap 9 Ogos lalu, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sebagai bukan warganegara Malaysia telah memasuki negara ini tanpa pas yang sah di Pejabat Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, pada jam 9 malam 19 Ogos lalu.

Mereka didakwa melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, selain sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

Dalam kes di bawah Akta Imigresen tersebut, semua tertuduh diwakili paguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lee Ee San.

Bagaimanapun, seorang lagi lelaki warga negara sama, Suyono, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah di lokasi dan tarikh yang serupa.

Mahkamah tidak membenarkan lelaki itu diikat jamin dan menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada 11 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan, pertengkaran berkaitan kecurian peralatan pekebun dan buah kelapa sawit dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang pemilik kebun di kawasan kebun kelapa sawit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, mangsa berusia 49 tahun ditemukan keluarganya yang keluar mencari lelaki berkenaan.

Polis menerima laporan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 5 petang, 9 Ogos lalu.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved