
KUANTAN – Tiga individu membuat laporan polis susulan kejadian provokasi yang dilakukan terhadap penguat kuasa sehingga menimbulkan kata-kata berunsur penghinaan agama apabila menggambarkan dan melakonkan bagaimana jika al-Quran dipijak.
Laporan polis itu dibuat pada pukul 8.24 malam semalam di Balai Polis Indera Mahkota di Kuantan.
Seorang pengadu Noradly Othman, 49, berkata, dia bersama wakil Gabungan Aktivis pertubuhan kerajaan negeri Pahang terpanggil untuk membuat laporan polis selepas melihat rakaman video memaparkan seorang individu melakukan penghinaan terhadap agama Islam selepas membuat perumpamaan dan lakonan bagaimana jika kitab suci itu dipijak.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan yang didakwa berlaku ini kerana kesucian al-Quran bukan bahan ugutan, agama Islam bukan untuk dipersendakan dan undang-undang negara tidak boleh dipijak sesuka hati.
“Kami memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan jenayah dengan segera dan tegas terhadap unsur penghinaan agama, ugutan jenayah, halangan terhadap penjawat awam dan kekerasan fizikal,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan provokasi dilakukan berterusan terhadap penguatkuasaan termasuk kata-kata berunsur 3R iaitu “Kalau kami ambil al-Quran itu kami pijak-pijak marah tak”.
Dalam video berdurasi satu minit 30 saat itu memaparkan penguat kuasa yang melakukan penguatkuasaan hanya diam mendengar kata-kata provokasi termasuk seorang individu yang membuat perumpaan al-Quran serta seolah-olah melakonkan gaya memijak kitab suci berkenaan.
Menurut Noradly laporan ini dibuat demi mempertahankan kesucian agama Islam, kedaulatan undang-undang serta keselamatan dan keharmonian rakyat Malaysia.
Katanya, apa pun alasan adalah tidak wajar sama sekali menjadikan al-Quran sebagai perumpaan untuk dipijak kerana ia adalah kitab suci umat Islam di seluruh dunia.
Sementara itu Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata tindakan individu berkenaan yang menyebut al-Quran dan menunjukan lakonan memijak kitab suci berkenaan boleh menimbulkan kemarahan umat Islam.
Katanya, walaupun tidak memijak al-Quran, tetapi kata-kata dan lakonan yang dilakukan itu seolah-olah mencabar umat Islam di negeri ini yang hidup dalam keadaan harmoni bersama penganut agama lain.
Justeru beliau berharap lebih banyak laporan polis dibuat oleh umat Islam bagi memastikan insiden penghinaan agama seperti ini tidak berlaku lagi di masa akan datang. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga laporan polis isu provokasi penguat kuasa, hina agama appeared first on Kosmo Online.






