
BENTONG – Tiga lelaki bersenjatakan kapak dan kuku kambing melarikan lima bekas mengandungi 81 barang kemas bernilai RM1.747 juta dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Genting Highlands, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.39 pagi di sebuah kedai emas di SkyAvenue Genting Highlands, dengan suspek dipercayai hanya mengambil masa kira-kira dua minit untuk melarikan barang kemas berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas seorang pengawal keselamatan daripada sebuah syarikat sekuriti yang bertindak menghubungi Balai Polis Genting Highlands.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek lelaki memakai penutup muka, topi dan jaket sebelum memasuki premis dengan membawa senjata.
“Suspek kemudiannya mengumpil dan memecahkan cermin pameran barang kemas sebelum mengambil lima bekas barang kemas yang mengandungi 81 barang kemas pelbagai jenis dan berat keseluruhan 2.5 kilogram bernilai RM1,747,500,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek keluar dari premis kira-kira pukul 11.41 pagi selepas berjaya melarikan barang kemas berkenaan.
“Semasa kejadian berlaku, terdapat dua orang pekerja berada di dalam premis iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Seorang lagi pekerja perempuan sedang keluar untuk berehat.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga lelaki bersenjata samun kedai emas, lesap barang kemas RM1.75 juta appeared first on Kosmo Digital.





