
KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) telah membuat dua transaksi pemindahan bernilai kira-kira RM19.6 juta ke akaun milik syarikat fesyen tempatan, Fashion Valet Sdn. Bhd. (FashionValet), pada Mac 2018.
Pengurus Cawangan CIMB Bank Berhad (CIMB) Menara KL Sentral, Lee Hui Nee, 58, berkata hasil semakan pihak bank, kedua-dua transaksi itu dibuat masing-masing pada 23 Mac dan 26 Mac 2018.
“Saya telah membuat semakan terhadap penyata akaun bank Khazanah bagi bulan Mac 2018 terdapat dua ransaksi pindahan wang yang berkaitan. Transaksi pertama direkodkan pada 23 Mac 2018 melibatkan jumlah sebanyak RM7,848,000.00, manakala transaksi kedua berlaku pada 26 Mac 2018 dengan jumlah sebanyak RM11,742,000.00.
“Oleh itu, jumlah keseluruhan bagi kedua-dua transaksi tersebut adalah kira-kira RM19 juta. (RM19.5 juta). Untuk makluman, pembayaran bagi kedua-dua transaksi ini telah dilakukan melalui pemindahan wang secara rentas bank (interbank transfer), dan diproses sepenuhnya oleh pihak bank,” kata saksi itu.
Saksi pendakwaan keempat itu memberi keterangan dalam perbicaraan pengasas FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) Datin Vivy Sofinaz Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar berhubung pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad.
Pernyataan lanjut, saksi itu turut mengesahkan bahawa hasil semakan ke atas penyata akaun Khazanah bagi tempoh antara 31 Januari 2017 hingga 31 Disember 2019 menunjukkan tiada sebarang pemindahan wang lain dilakukan ke akaun FashionValet selain daripada dua transaksi berkenaan.
Terdahulu, saksi pendakwaan ketiga dalam pernyataan saksinya, mengesahkan Vivy Sofinaz dan Fadzarudin Shah merupakan pengarah syarikat FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) dan syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. (30M).
Penolong pendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Harshini Radhakrishnan, 36, berkata Fadzarudin Shah dilantik sebagai pengarah pada 13 Disember 2012 manakala Vivy Sofinaz dilantik bagi jawatan sama pada 29 September 2010.
Saksi itu turut memaklumkan selain memegang jawatan pengarah di syarikat FV, kedua-dua penama tersebut, juga merupakan
pengarah bagi syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. (30M).
“Hasil semakan yang saya lakukan dalam sistem
Company Business System (CBS) mendapati bahawa tiada sebarang pertukaran status pengarah melibatkan Fadzarudin Shah dan Vivy Sofinas bagi Syarikat FV dan Syarikat 30M bagi tempoh tahun 2012 sehingga tahun 2024. Semakan juga mendapati bahawa tiada Borang 49 atau dokumen Seksyen 58 yang difailkan berhubung sebarang perubahan status pengarah bagi kedua-dua penama tersebut,” kata saksi itu dalam pernyataan saksinya.
Tambah saksi itu, bagi syarikat 30M (30 Maple Sdn. Bhd.) Fadzarudin Shah dan Vivy Sofinaz telah dilantik sebagai pengarah pada 9 Disember 2013 selain tiada rekod menunjukkan berlakunya sebarang perubahan terhadap status pelantikan mereka sebagai pengarah selepas tarikh tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad bersambung lagi 16 Oktober ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Nidzuwan Abd. Latif manakala peguam Datuk M.Athimulan mewakili pasangan itu.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Ia dimana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Kemudian pasangan itu sekali lagi didakwa dan turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan, menyalahgunakan dana pelaburan PNB dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. iaitu dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat sama mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Saksi sahkan FashionValet terima RM19 juta daripada Khazanah appeared first on Kosmo Digital.






