
PETALING JAYA: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dengan video tular perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua, Johor baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 40 tahun ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi hari ini di pekarangan parkir sebuah kondominium di Sentul di sini.
Menurutnya, tangkapan dilakukan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman hasil risikan susulan video perlumbaan haram yang tular di media sosial.
“Semasa operasi dijalankan, kesemua suspek dipercayai cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh pasukan polis.
“Daripada tiga lelaki yang ditahan, seorang dipercayai terlibat sebagai penunggang motosikal perlumbaan atau joki manakala dua lagi dipercayai merupakan penonton,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata, siasatan lanjut mendapati perlumbaan haram tersebut melibatkan wang pertaruhan RM15,000.
Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan setiap suspek.
“Kami percaya terdapat kemungkinan terdapat individu lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan. Kesemua suspek kemudian dibawa ke Balai Trafik Kulai, Johor untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 81(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JSPT tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang dikesan terlibat dalam kegiatan berkenaan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terlibat atau menjadi penonton kepada perlumbaan haram kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pihak yang didapati mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut,” katanya.- UTUSAN
The post Tiga lelaki ditahan terbabit perlumbaan haram Linkedua appeared first on Utusan Malaysia.



![[KEMASKINI] Tutup Linkedua: Dua lelaki kena reman 4 hari, seorang lagi sehari](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/tutup-jalan-lumba-haram-1024x822.jpeg)

