
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dengan seorang pejalan kaki berhampiran Masjid Jalan Baru, Taman Pauh, Perai, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.31 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
“Dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang BMW tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang pejalan kaki mengalami kecederaan. Perodua Myvi dan Proton Persona pula tidak bergerak dan berada di bahu jalan, dengan pemandunya tiada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
John berkata, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, seorang mangsa iaitu pemandu BMW disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Faizwan Noor Salihi, 29, manakala identiti dua lagi lelaki iaitu penumpang BMW dan pejalan kaki masih belum diperoleh. -KOSMO! ONLINE
The post Pemandu BMW maut, dua lagi cedera kemalangan empat kenderaan appeared first on Kosmo Digital.






