
KAJANG – Sebuah Land Rover terbalik beberapa kali selepas dilanggar lori yang hilang kawalan dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 4, Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang apabila lori berkenaan membrek secara mengejut kerana terdapat kenderaan di hadapan.
“Lori tersebut hilang kawalan sebelum masuk ke lorong sebelah kanan dan menyebabkan kemalangan dengan dua buah kereta serta sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Land Rover yang dinaiki wanita tempatan berusia 51 tahun kemudian terbalik beberapa kali sebelum melambung dan mengenai sebuah Honda City yang diletakkan di tepi jalan sebelah kiri.
“Pemandu Land Rover hanya mengalami kecederaan ringan dan telah hadir membuat laporan polis pada hari yang sama, manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Rosmawati Ab Radzak di talian 012-2606782. – KOSMO! ONLINE
The post Land Rover terbalik, melambung dilanggar lori appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Terlelap ketika memandu, lori rempuh kedai nasi lemak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/lori-kajang-tular-viral-1024x766.jpeg)


