Tiga pemangkin utama pacu prospek AEON pada FY27, saham berpotensi naik kepada RM1.06 - HLIB

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 11:07 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiga pemangkin utama pacu prospek AEON pada FY27, saham berpotensi naik kepada RM1.06 - HLIB Image from: Tiga pemangkin utama pacu prospek AEON pada FY27, saham berpotensi naik kepada RM1.06 - HLIB hamden17/11/2026 - 11:07 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Tiga pemangkin utama dijangka menyokong prospek pertumbuhan AEON Co. (M) Bhd pada tahun kewangan 2027 (FY27), merangkumi peningkatan perbelanjaan sempena musim perayaan, sumbangan pendapatan sewaan KL Midtown serta keupayaan pembayaran dividen yang lebih kukuh.

 

Hong Leong Inventment Bank (HLIB) berkata, sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya yang berlangsung pada suku pertama FY27 dijangka merancakkan perbelanjaan pengguna, sekali gus berpotensi mengulangi kesan positif musim perayaan pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26).

 

Selain itu, KL Midtown yang dilancarkan pada 5 November lalu dijangka mula menyumbang pendapatan sewaan bagi tempoh suku penuh, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan.

 

Pemangkin ketiga pula membabitkan peningkatan aliran tunai bebas dan keupayaan pembayaran dividen apabila kitaran perbelanjaan modal (capex) utama kumpulan selesai.

 

Dari sudut prestasi jangka pendek, HLIB menjangkakan prestasi lebih sederhana pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) berikutan faktor bermusim, namun sambutan perayaan hujung tahun dan perbelanjaan berkaitan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka menyokong prestasi suku keempat (4QFY26).

 

"Peruntukan sebanyak RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA turut dijangka menyokong perbelanjaan barangan runcit serta jumlah pengunjung pusat beli-belah, sekali gus memberi manfaat kepada komponen sewaan Perkhidmatan Pengurusan Hartanah (PMS) yang dikaitkan dengan kadar pusing ganti jualan penyewa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tonggak keuntungan

Segmen PMS kekal sebagai tonggak keuntungan AEON apabila menyumbang 92.6% daripada pendapatan kumpulan.

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26), keuntungan segmen itu meningkat 25.1% tahun ke tahun kepada RM206.5 juta, dengan margin keuntungan kukuh sebanyak 45%.

 

HLIB berpendapat model sewaan hibrid PMS yang berdaya tahan, dengan 60% daripadanya berasaskan sewaan tetap, memberikan sokongan kepada pendapatan kumpulan meskipun berdepan ketidaktentuan dalam segmen Peruncitan.

 

Dalam segmen Peruncitan, produk makanan menyumbang kira-kira 60% daripada jualan apabila pengguna terus mengutamakan barangan keperluan dalam persekitaran perbelanjaan yang lebih berhati-hati.

 

Walaupun peningkatan komposisi barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dan susut nilai berkaitan kerja pengubahsuaian memberi tekanan kepada margin pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), pelaburan itu dilihat strategik bagi mengekalkan jumlah pengunjung dan pendapatan sewaan daripada penyewa.

 

Saham AEON sedang membentuk asas harga

Dari sudut penilaian, saham AEON dilihat masih mempunyai ruang kenaikan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 7.6 kali bagi FY27 dan 7.0 kali bagi FY28, lebih rendah berbanding purata lima tahun sebanyak 14.2 kali.

 

Saham itu turut menawarkan hasil dividen prospektif sebanyak 5%, sekali gus meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur.

 

Sementara itu, dari sudut teknikal, saham AEON dilihat sedang membentuk asas harga selepas mengalami pembetulan sebanyak 35.2% daripada paras tertinggi sejak awal tahun (YTD) RM1.35 kepada RM0.875 sebelum mencatatkan lantunan sederhana kepada RM0.90.

 

Penembusan melepasi garisan aliran menurun pada RM0.935 berpotensi membuka laluan kepada kenaikan seterusnya pada RM0.99, bersamaan purata bergerak 100 hari (MA100) dan paras anjakan Fibonacci 23.6%, sebelum menuju sasaran RM1.06 pada paras anjakan Fibonacci 38.2%.

 

Paras sokongan awal dikenal pasti pada RM0.875, diikuti RM0.83 dan RM0.80, manakala paras henti rugi ditetapkan pada RM0.815.

 

Pada masa sama, penilaian harga kepada nilai buku (PBV) AEON sebanyak 0.62 kali juga berada di bawah purata lima tahun sebanyak 0.88 kali, mencerminkan penilaian yang masih rendah berbanding sejarah dagangan saham berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved