Prospek pendapatan Affin Bank kekal mencabar dalam dua hingga tiga suku akan datang – HLIB

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 12:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek pendapatan Affin Bank kekal mencabar dalam dua hingga tiga suku akan datang – HLIB Image from: Prospek pendapatan Affin Bank kekal mencabar dalam dua hingga tiga suku akan datang – HLIB liza17/11/2026 - 12:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Affin Bank Berhad dijangka berdepan prospek pendapatan yang mencabar dalam tempoh dua hingga tiga suku akan datang susulan peningkatan tekanan kualiti aset, kos kredit yang tinggi serta persaingan deposit semakin sengit, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Pegang' terhadap saham Affin Bank dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.00, namun menyemak turun unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), FY2027 dan FY2028 masing-masing sebanyak 6.3%, 0.8% dan 0.4%.

 

HLIB berkata, pihaknya kekal berhati-hati terhadap trajektori pendapatan kumpulan perbankan itu selepas pihak pengurusan mengakui sasaran keuntungan sebelum cukai (PBT) FY2026 sebanyak RM850 juta tidak akan dicapai.

 

Affin Bank mencatatkan keuntungan bersih RM113.6 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), merosot 10.9% berbanding suku sebelumnya dan 21.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Ini menjadikan keuntungan terkumpul bagi tempoh sembilan bulan pertama FY2026 sebanyak RM376.6 juta, susut 8.7% tahun ke tahun, bersamaan kira-kira 72% daripada unjuran setahun penuh HLIB dan konsensus pasaran. Tiada dividen diumumkan bagi suku berkenaan.

 

Pinjaman perumahan bermasalah meningkat

HLIB turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemunculan tekanan kualiti aset dalam segmen perbankan runcit Affin Bank, khususnya pinjaman perumahan apabila nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) meningkat kepada 1.9%.

 

Perkembangan itu berlaku ketika peningkatan kos sara hidup dan keupayaan pembayaran balik pelanggan yang semakin lemah memberi tekanan kepada kualiti pinjaman.

 

“Walaupun nisbah GIL keseluruhan kumpulan bertambah baik kepada 1.76%, nisbah perlindungan kerugian pinjaman susut 1.7 mata peratusan kepada 67.9%.

 

“Pihak pengurusan telah mengetatkan piawaian pemberian pinjaman serta menambah baik proses kutipan pinjaman, namun kami berpandangan langkah berkenaan memerlukan masa untuk menunjukkan kesan ketara, khususnya dalam persekitaran ekonomi yang mungkin lebih perlahan pada 2027,” kata HLIB dalam nota kajiannya.

 

Kos kredit dijangka kekal tinggi

Selain itu, Affin Bank sedang mempertimbangkan penambahan peruntukan tambahan pada suku keempat, dengan pihak pengurusan menjangkakan kos kredit kasar FY2026 sekurang-kurangnya 44 mata asas.

 

Potensi pemulihan pinjaman antara RM30 juta hingga RM40 juta menjelang Disember 2026 atau suku pertama 2027 boleh memberikan sedikit kelegaan kepada kumpulan itu, meskipun ketidaktentuan mengenai tempoh pemulihan berkenaan masih menjadi perhatian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Affin Bank susut 21.7% pada 3QFY26 susulan peningkatan kemerosotan nilai hutang mengatasi pertumbuhan hasil

 

Sementara itu, margin faedah bersih (NIM) bank menyusut lima mata asas berbanding suku sebelumnya berikutan persaingan deposit yang berpanjangan.

 

Kedudukan modal turut menjadi perhatian

HLIB turut meningkatkan perhatian terhadap kedudukan modal Affin Bank apabila kos kredit yang tinggi mengehadkan keupayaan kumpulan menjana modal secara dalaman.

 

Nisbah modal Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) kumpulan kini berada pada 12.3%, masih melebihi paras 11% yang ditetapkan pihak pengurusan sebagai ambang untuk mengumpul modal baharu.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan aset berwajaran risiko yang agak tinggi serta kerugian penilaian pasaran (mark-to-market) dalam portfolio bon terus memberi tekanan kepada kedudukan modal kumpulan.

 

Pihak pengurusan mendedahkan kerugian penilaian pasaran sebanyak RM450 juta dalam portfolio bon telah menghakis nisbah CET1 kira-kira 30 mata asas.

 

HLIB turut menyatakan hasrat pihak pengurusan untuk mengekalkan nisbah pembayaran dividen sebanyak 40% boleh mengehadkan pengumpulan modal, sekali gus menjadikan penyertaan kukuh dalam pelan pelaburan semula dividen (DRP) semakin penting.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pemeliharaan modal akan menjadi keutamaan kumpulan, sekali gus berpotensi mengehadkan fleksibiliti pertumbuhan dan peningkatan keuntungan dalam tempoh terdekat hingga sederhana.

 

HLIB mengekalkan harga sasaran RM2 bagi Affin Bank berdasarkan nisbah harga kepada nilai buku (P/B) unjuran tahun kalendar 2027 sebanyak 0.4 kali.

 

Dengan kemungkinan peningkatan peruntukan, tekanan modal yang semakin ketara serta margin faedah yang semakin mengecil, HLIB melihat ruang pemulihan keuntungan yang ketara pada suku keempat adalah terhad, selain kekurangan pemangkin segera untuk meningkatkan penilaian saham Affin Bank. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved