Tiga remaja maut nahas 15 kenderaan: Konvoi motosikal dipercayai ditunggang laju - Polis

21 Sep 2026 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga remaja maut nahas 15 kenderaan: Konvoi motosikal dipercayai ditunggang laju - Polis
Kemalangan kira-kira jam 3.35 pagi pada 19 September itu mengakibatkan tiga penunggang motosikal lelaki berusia antara 19 hingga 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian

TANJONG MALIM - Polis memaklumkan berdasarkan siasatan awal, polis percaya kumpulan penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Jelapang-Ampang, Ipoh yang meragut tiga nyawa pada Sabtu lepas, menunggang pada kelajuan tinggi ketika berkonvoi.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, melalui hasil siasatan juga kumpulan yang menunggang dari arah Ipoh itu kemudian hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta jenis Toyota Vios.

"Susulan perlanggaran itu, kumpulan kedua penunggang motosikal gagal mengelak lalu melanggar motosikal serta kereta yang telah terlibat dalam kemalangan berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Alwi berkata, laluan berkenaan turut dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan kegiatan samseng jalanan dan lumba haram, dengan polis menjalankan operasi pada waktu awal pagi bagi membanteras kegiatan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, selepas polis selesai menjalankan operasi kira-kira jam 3 pagi, mereka akan kembali berkumpul dan menjalankan kegiatan tidak bermoral tersebut.

Sementara itu, Mohd Alwi berkata, semua pihak yang terlibat telah dikenal pasti dan polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, termasuk mengesahkan pemilik sebenar kenderaan yang terlibat.

Beliau berkata, pihaknya juga telah merakam keterangan penunggang motosikal terbabit dan pemandu kereta terlibat kecuali seorang mangsa lelaki berusia 19 tahun dari Perak yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Kemalangan kira-kira 3.35 pagi pada 19 September itu mengakibatkan tiga penunggang motosikal lelaki berusia antara 19 hingga 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala sembilan lagi penunggang motosikal lelaki berumur antara 19 hingga 25 tahun mengalami pelbagai kecederaan.

Dalam pada itu, Mohd Alwi berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menjalankan 64 operasi membanteras samseng jalanan dan lumba haram dalam tempoh Januari hingga 19 September lepas.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 11 tangkapan dibuat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 41 kes sitaan kenderaan diambil tindakan di bawah Seksyen 64(1) akta sama,” katanya.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved