
KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas terjatuh sebelum dilanggar sebuah lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Terowong 2, Lebuh Raya Sultan Iskandar di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, mangsa lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha 135LC, Honda City dan lori Hino.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang di lorong kanan menghala ke Jalan Damansara sebelum dipercayai hilang kawalan.
“Motosikal mangsa kemudian melanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah Honda City yang berada di lorong sama dan dipandu lelaki berusia 28 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh ke lorong kiri sebelum dilanggar sebuah lori Hino yang dipandu lelaki berusia 40 tahun kerana gagal mengelak mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zamzuri berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.
Katanya, kedua-dua pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Penunggang motosikal maut dirempuh lori appeared first on Kosmo Online.






