
IPOH – Polis sedang mengesan pemandu treler bagi membantu siasatan kes kemalangan maut penunggang motosikal disyaki langgar lari di Kilometer 263.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, sebuah motosikal jenis Yamaha NVX terlibat kemalangan dengan sebuah treler yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran.
Katanya, penunggang motosikal berusia 27 tahun yang cedera parah di kepala itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai digilis treler di bahagian kepala dan maut akibat kecederaan parah. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Polis kesan pemandu treler gilis penunggang motosikal appeared first on Kosmo Online.






