
KUALA LUMPUR – Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas dilanggar sebuah lori Jabatan Imigresen (JIM) dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, lori Isuzu Black Maria milik JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah Proton Saga sebelum terbabas dan merempuh empat pejalan kaki serta sebuah kereta lain.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun tanpa membawa penumpang ketika kejadian.
“Lori berkenaan dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.
“Lori tersebut dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu beacon dan siren diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada masa sama sebuah Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
“Pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.
“Akibat pelanggaran itu, lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah Inokom Matrix yang sedang berhenti di persimpangan,” ujarnya.
Mohd. Zamzuri berkata, tiga daripada empat pejalan kaki meninggal dunia di lokasi kejadian, iaitu seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 tahun dan 12 tahun.
“Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 55 tahun yang juga isteri kepada mangsa lelaki dan ibu kepada dua mangsa perempuan mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki.
“Mangsa dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, ketiga-tiga pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
“Pemandu lori Jabatan Imigresen dan pemandu Proton Saga telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Ujian pernafasan bagi mengesan alkohol dan saringan awal air kencing terhadap kedua-duanya didapati negatif,” jelasnya.
Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan di lokasi, mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup, mengesan saksi bebas serta membawa kenderaan terlibat untuk pemeriksaan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga sekeluarga maut dilanggar lori Imigresen di Maju Junction appeared first on Kosmo Digital.





