
KUALA TERENGGANU: Tiga stesen pemantauan kualiti udara di Terengganu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 8 pagi ini, dengan Kemaman mencatat bacaan tertinggi iaitu 157.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, selain Kemaman, dua lagi kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Paka dengan IPU 156 dan Kuala Terengganu (153).
“Bagaimanapun, tiada hotspot dikesan di seluruh negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sehubungan itu, JAS menasihatkan individu berisiko tinggi supaya mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan pendedahan berlebihan kepada udara tercemar.
Katanya, orang ramai juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan pelepasan asap daripada kenderaan, selain mengambil langkah penjagaan kesihatan seperti minum air secukupnya dan mengelakkan berada di kawasan yang terdedah kepada jerebu.
“Sekiranya mengalami kesan akibat jerebu seperti masalah pernafasan atau gejala berkaitan, orang ramai dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.
“Pada masa sama, aktiviti keramaian serta kegiatan sukan di luar bangunan juga disarankan ditangguhkan sepanjang tempoh kualiti udara berada pada tahap tidak sihat,” katanya.
Hamzah berkata, semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid sekolah juga perlu dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tercemar. – UTUSAN
The post Tiga stesen catat bacaan kualiti udara tidak sihat di Terengganu appeared first on Utusan Malaysia.





