
SHAH ALAM, 28 NOV: Tiga stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya akan memulakan operasi pada jam 9.30 pagi esok susulan kerja penggantian landasan fasa dua.
Rapid KL menerusi kenyataan memaklumkan kerja berkenaan membabitkan Stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum.
Sehubungan itu, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan bermula jam 6.30 hingga 9.30 pagi bagi memudahkan perjalanan pengguna.
Perkhidmatan berkenaan menghubungkan lima stesen iaitu Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum dan Bangsar dengan kekerapan antara lima hingga 10 minit.
Stesen yang tidak terbabit dengan kerja penggantian landasan akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual.
Sebelum ini, media melaporkan kerja penggantian landasan LRT Laluan Kelana Jaya dilaksanakan secara berperingkat membabitkan tujuh fasa bermula 13 September lalu hingga September 2027.
Rapid KL memaklumkan kerja penambahbaikan itu bagi memastikan infrastruktur landasan sentiasa berada pada tahap keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi.
Fasa pertama membabitkan Stesen Gombak dan Taman Melati pada 13, 20 dan 27 September, manakala fasa kedua dilaksanakan pada 15, 22 dan 29 November.
Fasa ketiga pula membabitkan Stesen Dato' Keramat, Jelatek dan Setiawangsa pada 10, 17 dan 24 Januari 2027.
Kerja penggantian landasan diteruskan menerusi fasa keempat pada 14, 21 dan 28 Mac 2027 membabitkan Stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum, diikuti fasa kelima pada 9, 16 dan 23 Mei 2027 melibatkan Stesen Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

![[VIDEO] Lelaki warga China ceroboh landasan LRT Pandan Jaya](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-27-at-8.18.35-PM-1024x576.jpeg)




