
SHAH ALAM, 26 NOV: Tiga tahun selepas dinaik taraf sebagai Bandaraya Diraja, Klang terus memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat menerusi pelbagai perancangan bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memberi tumpuan kepada penambahbaikan pengangkutan awam, kemudahan komuniti dan keselamatan bandar, selain menangani cabaran penyelenggaraan kemudahan awam.
Datuk Bandar Klang, Dato' Abd Hamid Hussain berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan perkembangan bandar raya itu seiring dengan keperluan penduduk yang semakin meningkat.
"Antara perancangan bagi 2027 termasuk penambahan bas elektrik, pembinaan dua dewan komuniti baharu, pemasangan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) serta kerja menaik taraf empat medan selera." katanya menerusi Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.

MBDK rancang tambah bas elektrik pada 2027
MBDK merancang menambah bilangan bas elektrik pada tahun depan sebagai usaha memperkukuh pengangkutan awam dan menyokong agenda bandar rendah karbon.
Abd Hamid berkata, pihaknya ketika ini menyediakan tujuh laluan Bas Smart Selangor dengan kira-kira 10 bas bagi memudahkan pergerakan penduduk.
Menurutnya, MBDK membelanjakan lebih RM5 juta setiap tahun bagi menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada warganegara Malaysia.
“Pada tahun hadapan kita akan menambah lagi jumlah bas EV untuk memastikan bahawa kita 'go green' dalam bandar raya kita,” katanya.
Beliau menjelaskan permintaan terhadap perkhidmatan bas percuma turut diterima daripada penduduk, namun peluasan laluan perlu mengambil kira kemampuan kewangan MBDK.

Dua dewan komuniti baharu dirancang pada 2027
Dalam usaha meningkatkan kemudahan masyarakat, MBDK turut merancang membina dua dewan komuniti baharu pada tahun depan.
Abd Hamid berkata, satu daripadanya melibatkan kawasan Taman Maznah, manakala lokasi sebuah lagi masih bergantung kepada kesesuaian tapak.
"Pembinaan kemudahan berkenaan bertujuan memenuhi keperluan penduduk yang memerlukan ruang untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
"Selain pembinaan dewan baharu, MBDK turut merancang menaik taraf dewan sedia ada mengikut keperluan." tambah Abd Hamid.
Jelasnya, antara penambahbaikan yang dipertimbangkan termasuk pemasangan penyaman udara, penggantian lantai dan kerja mengecat semula bangunan.
MBDK rancang tambah CCTV di kawasan tumpuan
Aspek keselamatan turut menjadi antara keutamaan MBDK dengan perancangan menambah pemasangan CCTV di sekitar bandar raya itu pada 2027.
"Kemudahan berkenaan penting bagi meningkatkan pemantauan di lokasi yang dikenal pasti memerlukan perhatian.
"Antaranya kawasan pembuangan sampah haram dan lokasi yang mempunyai risiko kemalangan." katanya.
Menurutnya, MBDK sudah memasang CCTV di beberapa kawasan tumpuan dan menyediakan peruntukan bagi menambah jumlahnya pada tahun depan.
Langkah itu diharap dapat membantu meningkatkan pemantauan serta memastikan persekitaran bandar berada dalam keadaan lebih terkawal.

Empat medan selera Klang dirancang naik taraf
MBDK turut merancang menaik taraf empat medan selera pada 2027 bagi memperbaik kemudahan serta imej premis makanan lama di sekitar Klang.
Abd Hamid berkata kerja berkenaan merupakan sebahagian usaha memperbaharui kemudahan awam, khususnya gerai dan pasar yang sudah uzur.
"Terdapat premis lama yang memerlukan penambahbaikan supaya lebih selesa digunakan oleh peniaga dan pengunjung.
"Antara kawasan yang disebut untuk pertimbangan kerja naik taraf ialah gerai lama di Meru yang terkenal dengan jualan lontong." jelas Abd Hamid.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan lokasi keseluruhan medan selera terlibat masih belum dapat diperincikan.

Kecurian kabel berulang sebabkan kerugian kepada MBDK
Dalam pada itu, Abd Hamid mengakui kegiatan kecurian kabel elektrik masih menjadi antara cabaran MBDK dalam memastikan kemudahan pencahayaan awam sentiasa berfungsi dengan baik.
Menurutnya, kejadian berkenaan melibatkan kabel lampu jalan dan lampu hiasan yang dipasang di sekitar bandar raya itu.
Beliau berkata kecurian berulang menyebabkan MBDK terpaksa menjalankan kerja pemasangan semula, sekali gus mengambil masa dan mengakibatkan kerugian.
“Bila kita pasang lagi, dicuri lagi. Pasang lagi, dicuri. Itulah yang jadi masalah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat bekerjasama dengan pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan tersebut.
Katanya, kerjasama orang ramai penting bagi membantu mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab dan mengelakkan kejadian sama terus berulang.
Tiga tahun bergelar Bandaraya Diraja
Klang memperoleh status bandar raya berkuat kuasa pada 23 November 2023 sebelum Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyempurnakan istiadat pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang pada 5 Februari 2024.
Berdasarkan anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2026, daerah Klang mempunyai kira-kira 1.19 juta penduduk sekali gus memperlihatkan kepentingan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat.
MBDK kini diterajui Abd Hamid sebagai Datuk Bandar dengan Mohd Zary Affendi Mohd Arif sebagai Timbalan Datuk Bandar.
Memasuki tahun keempat pentadbiran bertaraf bandar raya pada 2027, MBDK terus memberi perhatian kepada usaha memperkukuh perkhidmatan awam demi menjadikan Klang sebuah bandar raya yang lebih bersih, selamat, selesa dan sejahtera untuk didiami.


![[VIDEO] Peragut larikan beg RM3,000 diburu](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-07.49.09.jpeg)


