
SHAH ALAM, 13 NOV: Program subsidi pengangkutan awam, SEL 30 akan diperkenalkan tahun depan sebagai langkah menggalakkan lebih ramai rakyat negeri ini menggunakan kereta api dan bas.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata subsidi bernilai RM30 sebulan itu akan memanfaatkan 13,000 pengguna.
“Bagi tahun 2027, pentadbiran ini akan memperkenalkan pula Program SEL 30 yang memberi bantuan subsidi RM30 sebulan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5 juta.
“SEL 30 sebuah program istimewa untuk rakyat Selangor yang bertujuan mengurangkan kos dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 hari ini.
Tahun ini, menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, Kerajaan Negeri menawarkan subsidi tambang RM30 kepada 50,000 pemohon yang layak bagi tempoh enam bulan bermula Jun sehingga Disember.
Inisiatif itu dilaksanakan secara berperingkat menerusi dua fasa, dengan Fasa 1 bermula pertengahan Jun dan Fasa 2 bermula pertengahan September.
Pelaksanaan fasa pertama melibatkan perkhidmatan Respons Permintaan Transit (DRT) menerusi Kumpool manakala Fasa kedua diperluas kepada perkhidmatan DRT, komuter dan bas henti-henti, selain Rapid On-Demand yang menjadi pilihan terbaharu kepada pengguna.
Sementara itu, Amirudin memaklumkan sistem laluan Bas Smart Selangor akan dipertingkatkan serta dioptimumkan ke semua kawasan utama demi mentransformasikan sistem pengangkutan awam negeri.
Menurutnya, langkah itu bertujuan menghubungkan rakyat dengan stesen rel, sekali gus menyokong hasrat meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam.
“Untuk tujuan itu, sebanyak RM12 juta diperuntukkan. Bas Smart Selangor akan dijenamakan sebagai Bas Kita Selangor dengan peningkatan pengurusan laluan lebih sistematik, efektif serta kadar kekerapan lebih tinggi,” katanya.






