
Kota Kinabalu: Dua warga China masing-masing didenda RM1,800 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pada Khamis kerana menggunakan pas masuk pesawat palsu untuk melepasi balai ketibaan domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Wei Zhan dan Nong Chunzhao mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana menggunakan pas masuk pesawat palsu sebagai dokumen tulen kira-kira jam 2.52 petang pada 2 September tahun ini.
Wei menggunakan pas masuk palsu AirAsia bagi penerbangan dari Tawau ke Kota Kinabalu manakala Nong menggunakan pas masuk palsu Batik Air Malaysia bagi laluan dan tarikh yang sama.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa kedua-dua lelaki itu diperiksa oleh pengadu ketika menggunakan pas masuk elektronik untuk keluar dari Balai Ketibaan Domestik 3 di KKIA.
Pemeriksaan mendapati tiada rekod pas masuk berkenaan dalam sistem syarikat penerbangan masing-masing dan ia disyaki palsu.
Semakan lanjut dengan AirAsia dan Batik Air Malaysia turut mendapati kedua-dua warga China berkenaan tidak direkodkan sebagai penumpang bagi penerbangan masing-masing.
Pengadu kemudian mengesyaki kedua-dua lelaki itu cuba keluar melalui balai ketibaan domestik tanpa menjalani pemeriksaan Imigresen dengan menggunakan pas masuk elektronik palsu.
Peguam Luke Ressa Balang yang mewakili kedua-duanya memohon denda lebih rendah dengan alasan mereka telah ditahan selama lapan hari mengaku bersalah dan menjimatkan masa mahkamah selain menunjukkan kekesalan.
Beliau turut memaklumkan kedua-dua tertuduh mempunyai pasport yang sah.
Inspektor Yusdi Basri yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan.





