MELAKA - Seorang ibu tunggal yang mempunyai hampir 100,000 pengikut di TikTok didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki, Julai lalu.
**media[3643889]**
Tertuduh, Nurul Amalina Mohamad Kamal, 32, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama empat individu yang telah dituduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 47 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari, pada 25 Julai 2026, di sebuah kedai makan di Lingkaran Melaka Sentral, dalam daerah Melaka Tengah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dipukul sehingga mengalami kecederaan dan kesakitan di bahagian belakang serta kepala, selain luka pada hidung.
Mangsa turut mengalami sakit pada tulang rusuk sebelah kanan sehingga menyebabkan dia sukar bernafas.
Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek, merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum.
Peguam memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak bekerja dan merupakan ibu tunggal kepada empat anak.
Tertuduh turut berjanji tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan, selain berusaha mengawal emosi dan menyerahkan sebarang perkara berbangkit kepada pihak polis untuk diselesaikan.
Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM1,800 terhadap tertuduh atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Sementara itu, berlaku sedikit kekecohan ketika tertuduh dibawa keluar bagi proses ikat jamin apabila seorang lelaki yang dipercayai kenalan tertuduh cuba menghalang petugas media daripada merakam gambar dan video tertuduh.
Tertuduh yang dilihat kurang senang dengan kehadiran media turut bertanya kepada petugas media, “Hai, artis ke aku ni? Ada soalan tak?” ketika dibawa keluar oleh polis pengiring.






