Seorang pempengaruh media sosial dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang milik seorang bekas pramugari berjumlah RM31,900, tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Azri Abdul Rahim, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ronie Entili.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM31,900 milik seorang wanita yang juga bekas pramugari sebuah syarikat penerbangan.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Jalan Nusaria, Taman Nusantara, Gelang Patah, Iskandar Puteri, antara 25 Januari 2025 hingga 7 Mac 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina, menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Atuffah Said, memohon supaya mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang munasabah.
“Ini merupakan kesalahan pertama dilakukan anak guam saya, saya memohon agar mahkamah membenarkan satu jaminan yang munasabah atas faktor berikut.
“Anak guam saya merupakan seorang yang bekerja sendiri dengan pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan selain menanggung seorang isteri, mentua dan seorang anak,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 7 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

65 Banduan Dibebaskan, Pengampunan Najib Ditangguhkan Ke Mesyuarat Akan Datang
The post TikToker Ditahan, Didakwa Songlap Bekas Pramugari RM31,900 Mengaku Tidak Bersalah first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.




