
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, lawatan ini diadakan menjelang ulang tahun ke-70 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kemboja pada tahun 2027, serta mencerminkan hubungan erat dan berkekalan antara kedua-dua negara.
Katanya, Prak Sokhonn dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menegaskan semula hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Kemboja serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama.
“Prak Sokhonn dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama untuk Kerjasama Dua Hala (JCBC) antara Malaysia dan Kemboja di Kuala Lumpur, esok.
“JCBC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Kemboja yang menyediakan platform menyeluruh untuk menilai keseluruhan hubungan dua hala serta merangka hala tuju kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.
Wisma Putra berkata, Mesyuarat Ketiga ini dianjurkan selepas dua dekad sejak Mesyuarat JCBC Kedua diadakan di Siem Reap pada tahun 2006.
Katanya, ia memberikan momentum baharu dalam hubungan Malaysia–Kemboja serta mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama dua hala.
“Pada akhir Mesyuarat tersebut, kedua-dua Menteri dijangka menandatangani Agreed Minutes Mesyuarat JCBC Ketiga yang akan merekodkan hasil-hasil utama Mesyuarat serta memperbaharui komitmen bersama Malaysia dan Kemboja untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala,” katanya.
Pada tahun lalu, jumlah dagangan dua hala Malaysia-Kemboja meningkat sebanyak 27.4 peratus, mencecah RM5 bilion (AS$1.17 bilion) berbanding tahun sebelumnya.
Eksport Malaysia ke Kemboja berjumlah RM4.13 bilion (AS$970 juta), manakala import dari Kemboja berjumlah RM0.88 bilion (AS$200 juta).
Sehingga tahun 2024, pelaburan terkumpul Malaysia di Kemboja berjumlah AS$3.20 bilion (RM13.07 bilion) merangkumi 162 projek berdaftar, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pelabur asing ketiga terbesar di Kemboja. – UTUSAN
The post Timbalan Perdana Menteri Kemboja lawat Malaysia, perkukuh hubungan bersama 70 tahun appeared first on Utusan Malaysia.






