
ARAU: Polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung hantaran di media sosial didakwa berunsur penghinaan terhadap institusi diraja Perlis berkaitan penganugerahan darjah kebesaran dan pingat kebesaran negeri.
Laporan berkenaan dibuat oleh dua individu berusia lingkungan umur 35 dan 40 tahun di Balai Polis Kangar di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kedua-dua pengadu tersebut mendakwa melihat hantaran yang dimuat naik seorang pengguna akaun Facebook yang menggunakan nama Mohd Syafeeq.
Katanya, hantaran di Facebook individu berkenaan merujuk kepada pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) kepada Ketua Dewan Ulamak Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis.
“Dalam hantaran tersebut, individu berkenaan didakwa telah menulis antaranya seperti ‘Pingat Jasa Khianat pun dapat’ yang pada pemerhatian pengadu hantaran itu dibuat sebagai komen terhadap pengurniaan pingat dikurniakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullalil.
“Pengadu berpendapat penggunaan frasa tersebut boleh ditafsirkan sebagai satu penghinaan atau memperlekehkan anugerah yang dikurniakan oleh baginda,” katanya di sini hari ini.
Yusharifuddin berkata, pengadu turut menyimpan tangkap layar hantaran Facebook tersebut sebagai bahan rujukan dan bukti untuk siasatan pihak polis.
Katanya, setakat pengetahuan pengadu, individu menggunakan nama Facebook Mohd Syafeeq itu merupakan seorang pemuda dipercayai berasal atau tinggal di kawasan Sungai Padang, Perlis.
“Pengadu juga berpandangan hantaran itu berpotensi membawa persepsi negatif terhadap Institusi Diraja Perlis dan boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu keharmonian masyarakat khususnya melibatkan isu 3R (agama, kaum dan institusi Diraja).
“Sehubungan itu, pengadu memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap hantaran tersebut dan mengambil tindakan yang difikirkan wajar sekiranya terdapat sebarang kesalahan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya.
Katanya, buat masa ini siasatan masih dijalankan dan polis belum mengklasifikasikan kes itu.-UTUSAN
The post Polis terima laporan hantaran didakwa hina institusi diraja Perlis appeared first on Utusan Malaysia.






