Tindakan Menamatkan Keahlian Exco Tanpa Nasihat MB Tidak Berperlembagaan - Ismail Lasim

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 2:28 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Tindakan Menamatkan Keahlian Exco Tanpa Nasihat MB Tidak Berperlembagaan - Ismail Lasim

Tindakan menamatkan keahlian mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang, kata Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato' Haji Ismail bin Lasim.

Tindakan menamatkan keahlian Exco tanpa nasihat MB, tidak berperlembagaan

Beliau berkata perkara itu perlu diteliti berdasarkan tafsiran menyeluruh terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya yang melibatkan kedudukan serta tempoh perjawatan EXCO.

Menurut beliau, sistem pentadbiran Negeri Sembilan ditegakkan di atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, dengan kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Besar dalam hal pentadbiran negeri dilaksanakan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Menurut Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Ismail berkata kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar dalam urusan pentadbiran pula hanya merangkumi perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.

“Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini,” katanya.

Baca juga:

Berhubung Perkara 38(5) UUTKNS 1959, beliau berkata kuasa Yang di-Pertuan Besar untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang EXCO tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).

“Ini bermakna, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar,” katanya.

Ismail turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.

“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baharu kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved