SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan memuji tindakan penjawat awam negeri yang tidak mengikut arahan Exco bagi mewartakan pelucutan takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, tindakan tersebut menunjukkan mereka memilih untuk tidak bersekongkol dengan pihak yang didakwa melakukan perbuatan derhaka terhadap Institusi Diraja Negeri Sembilan dan wajar dicontohi.
"Kami juga mengambil maklum perkembangan terkini berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz serta titah Baginda membatalkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta.
"Pembatalan lantikan itu berlaku selepas kesemua Exco terbabit didakwa memungkiri sumpah jawatan apabila memberi arahan kepada penjawat awam Kerajaan Negeri untuk menjalankan pewartaan yang bertujuan menggulingkan takhta Tuanku Muhriz.
"Pada pandangan kami, tindakan Exco adalah perbuatan derhaka, yang secara tidak langsung menjejaskan keharmonian rakyat, mencetuskan kecelaruan umum dan menghakis keyakinan terhadap Institusi Diraja Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Exco Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan berkenaan penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang bersidang pada Selasa dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Tambah Edy, pihaknya menjunjung tinggi kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan serta menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan Adat Perpatih sebagai asas penting dalam tadbir urus negeri.
Jelasnya lagi, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September lalu menyatakan proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar adalah tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
"Kami juga berpendapat, kebangkitan istana adalah tepat pada masa demi mempertahankan kedaulatannya dari terus dicemari oleh angkara permainan politik Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Negeri Sembilan. Tindakan Tuanku membatalkan pelantikan Exco juga adalah prerogatif yang terpelihara.
"Justeru itu, rakyat Negeri Sembilan khususnya dan rakyat seluruh negara, adalah wajib berdiri teguh menyahut taat setia serta sokongan penuh kepada Institusi Beraja Negeri Sembilan dan harus menjadi benteng tahta kedaulatan Tuanku Muhriz. Penderhaka harus ditolak," katanya.
Selain itu, ujar beliau, rakyat diminta kekal tenang, menghormati proses undang-undang, menjaga keharmonian negeri dan menyerahkan sebarang pertikaian untuk diselesaikan melalui saluran perlembagaan serta undang-undang yang sah.






