Tindakan sita kontena muatan ke Israel bukti ketegasan Malaysia - Anwar

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 8:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tindakan sita kontena muatan ke Israel bukti ketegasan Malaysia - Anwar
Anwar berkata, tindakan itu membuktikan ketegasan Malaysia dalam memastikan negara tidak menjadi laluan dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) atas tindakan pantas menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor semalam.

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata, tindakan itu membuktikan ketegasan Malaysia dalam memastikan negara tidak menjadi laluan dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

"Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Kumpulan The Hague dan larangan yang telah berkuat kuasa sejak Disember 2023 terhadap kapal Israel serta kapal yang membawa muatan ke Israel daripada menggunakan pelabuhan negara,” kata beliau.

Anwar berkata, Malaysia akan terus berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan, keadilan dan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat Palestin.

Terdahulu, AKPS dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menahan serta memeriksa sebuah kontena di PTP semalam yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.

Menurut agensi itu, penghantaran berkenaan disyaki tidak mematuhi Item No.15 Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel selaras dengan dasar dan ketetapan Kerajaan Malaysia.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved