
PETALING JAYA – Golongan muda khususnya mahasiswa menaruh harapan tinggi agar Belanjawan 2027 yang dibentangkan esok memberi tumpuan serentak kepada isu pengangguran, kos sara hidup serta penyediaan peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan akademik.
Menurut mereka, tuntutan terhadap penawaran kadar gaji yang adil serta pengenalan insentif praktikal bagi mengurangkan beban harian menjadi agenda utama yang diperjuangkan orang muda dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Pelatih industri Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Alif Aiman Sahri, 23, berkata, pasaran kerja domestik perlu lebih inklusif dengan tawaran gaji munasabah serta menghubungkan terus latihan kemahiran dengan sektor industri.
Katanya, langkah ini penting bagi memastikan anak muda mempunyai laluan kerjaya yang jelas sejurus mereka menamatkan pengajian.
“Harapan kami agar lebih banyak peluang kepada golongan muda memasuki pasaran pekerjaan.
“Gaji adil itu memang penting. Selain itu, kalau beri kursus, biarlah ada hubungan terus dengan majikan. Kita belajar, dapat kemahiran dan selepas itu ada peluang untuk masuk kerja. Itu lebih membantu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya lagi, urusan kemasukan ke alam pekerjaan juga diharap dapat dipermudah menerusi insentif khas kepada majikan bagi membuka lebih banyak ruang kepada bakat baharu.
Bagi mahasiswa seperti Hazari Iqmal Hazemi, 23, dia berharap agar belanjawan kali ini memberi impak sebenar kepada orang muda terutama dalam penyediaan pekerjaan yang berkualiti.
Katanya, isu lambakan tenaga kerja muda berkelayakan tinggi yang terpaksa menerima pekerjaan di bawah tahap pendidikan sebenar perlu dilihat dengan lebih serius bagi memastikan golongan tersebut menikmati taraf ekonomi yang lebih berkualiti.
“Ini adalah antara cabaran yang perlu dilalui oleh orang muda zaman ini apabila ramai yang terpaksa bekerja dengan paras gaji yang tidak setimpal dengan kelayakan akademik mereka,” katanya.
Mohd. Saifulah Hasan, 23, turut berpandangan sama dengan mengakui ramai bakat mahir di Malaysia terjebak dalam masalah ketidakpadanan kemahiran serta penawaran gaji yang tidak kompetitif di pasaran.
Katanya, keadaan ini menimbulkan tekanan psikologi dan kewangan yang hebat buat graduan baharu yang mengharapkan pasaran domestik mampu menyediakan peluang kerjaya berimpak tinggi yang setaraf dengan pelaburan pendidikan mereka.
“Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, golongan muda seperti kami banyak bergantung kepada sumber gaji yang diperoleh. Agak menyedihkan apabila ada graduan yang dibayar gaji agak rendah dengan kelayakan mereka,” katanya.
Susulan itu, Mohd. Saifulah berharap pembentangan belanjawan tahun ini memfokuskan kepada pelaburan fiskal bersasar bagi mendorong sektor swasta mencipta pekerjaan berkualiti tinggi dan bergaji wajar bagi golongan muda.
Dalam pada itu, isu pendidikan turut menjadi tumpuan orang muda yang mahukan jurang pendidikan antara di bandar dan luar bandar berjaya diselesaikan.
Daniq Aiman Zainul Ariffin Chai, 20, berkata, peruntukan juga perlu mengambil kira aspek penyelenggaraan sekolah agar keadilan dapat dirasai oleh semua anak Malaysia.
“Bukan setakat peruntukan fizikal, namun beban guru dan agenda pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dan (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkasakan,” katanya.
Di Langkawi, Kedah, rata-rata penduduk berharap peruntukan dalam Belanjawan 2027 dapat diuruskan dengan sebaiknya dengan mengutamakan rakyat.
Suri rumah, Norsafariny Mat Saad, 43, berkata, belanjawan yang akan dibentangkan nanti juga perlu diagihkan secara adil.
“Berapa sekali pun jumlah yang diperuntukkan, adalah lebih penting untuk kerajaan memastikan peruntukan tersebut sampai kepada golongan sasar tanpa sebarang ketirisan.
“Jadi walaupun jumlahnya sedikit, rakyat tetap dapat menikmati setiap sen nilai tersebut kerana semuanya diberikan kepada rakyat dan bukannya dikaut oleh orang tengah,” katanya.
The post Orang muda mahu gaji setimpal appeared first on Kosmo Online.






