
WASHINGTON – Nevada semalam mengambil tindakan undang-undang terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump berhubung rancangan yang akan mengurangkan akses negeri itu kepada Sungai Colorado.
Sungai Colorado yang berpunca dari Pergunungan Rocky, membolehkan aktiviti pertanian dijalankan di kawasan luas dan gersang di barat daya Amerika Syarikat(AS) serta membekalkan air minuman kepada 40 juta penduduk di rantau itu termasuk bandar-bandar seperti Phoenix.
Namun, penggunaan berlebihan selama berdekad-dekad, ditambah dengan kemarau bertahun-tahun telah memberi tekanan yang melumpuhkan pada laluan air tersebut, di mana pengurusannya sentiasa berasaskan pembahagian berlebihan sumber sedia ada.
Minggu lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan akan memotong jumlah air yang boleh digunakan negeri-negeri terbabit yang dikenali sebagai ‘negeri-negeri lembangan bawah’ termasuk Arizona, California dan Nevada serta mengekalkan peruntukan air untuk ‘negeri-negeri lembangan atas’ iaitu Colorado, New Mexico, Utah serta Wyoming.
Rancangan itu menyasarkan pengurangan penggunaan air kolektif ketiga-tiga negeri terbabit sehingga 3.7 bilion meter padu setahun sehingga 2036 atau bersamaan 1.5 juta kolam renang bersaiz Olimpik.
Nevada mengambil tindakan undang-undang bagi menyekat perubahan tersebut, yang menurutnya akan mengurangkan peruntukan sedia ada sebanyak dua pertiga sekali gus berpotensi memusnahkan bandar padang pasir Las Vegas, yang bergantung kepada Sungai Colorado untuk 90 peratus bekalan airnya.
“Ini bukan isu politik. Ini soal kelangsungan hidup bagi komuniti yang mewakili kira-kira dua pertiga penduduk Nevada dan sebahagian besar ekonominya, “ kata Gabenor Nevada daripada Parti Republikan yang memerintah, Joe Lombardo semalam.
Beberapa pegawai persekutuan berkata, rancangan untuk mengurangkan penggunaan air itu perlu kerana tujuh negeri di sepanjang Sungai Colorado gagal mencapai persetujuan sesama mereka.
Tanpa persetujuan, empangan di sungai itu yang digunakan untuk menjana kuasa hidroelektrik mungkin akan berhenti berfungsi. – AFP
The post Nevada saman kerajaan Amerika Syarikat appeared first on Kosmo Digital.





