
Selepas melalui pertimbangan melibatkan aspek pentadbiran dan pelaksanaan, kerajaan memutuskan Tingkatan Enam kekal sebagai sebahagian daripada pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), berbanding rancangan awal untuk meletakkannya di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Memetik laporan Buletin TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan pengurusan sistem, peranan guru serta pelaksanaan pendidikan Tingkatan Enam dapat berjalan dengan lebih lancar sebelum sebarang perubahan struktur dipertimbangkan pada masa hadapan.
Menurut beliau, cadangan meletakkan Tingkatan Enam di bawah KPT sebelum ini mempunyai asas pertimbangan tertentu, namun pelaksanaannya perlu diteliti kerana membabitkan sistem pentadbiran serta skim perkhidmatan guru.
Dalam pada itu, Anwar mencadangkan supaya pelajar Tingkatan Enam diberikan identiti lebih jelas sebagai pelajar prauniversiti, termasuk melalui penyediaan blok berasingan serta pengurusan khusus walaupun masih berada dalam kawasan sekolah yang sama.
Baca juga:
‘Projek monorel Putrajaya tidak berdaya maju diteruskan’ – MOT
‘Dulu ada GST…’ – Ahmad Maslan jawab isu laluan motosikal gelap
Sanusi, Ketua Penerangan UMNO Rembau dipanggil polis bantu siasatan
Katanya, Tingkatan Enam perlu diurus sebagai satu bahagian khas dan tidak disamakan sepenuhnya dengan pelajar sekolah menengah biasa, termasuk dari segi pengiktirafan serta kedudukan mereka sebagai pelajar yang sedang menuju ke peringkat pengajian tinggi.
Beliau berkata pendekatan itu penting supaya pelajar Tingkatan Enam melihat fasa berkenaan sebagai peringkat peralihan selepas sekolah dan menjadi jambatan sebelum melanjutkan pengajian ke universiti.
The post Tingkatan Enam kekal bawah KPM appeared first on The Reporter.






