Tingkatan Enam kekal di bawah KPM

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 10:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tingkatan Enam kekal di bawah KPM
Anwar.

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat sementara, selain memperkukuh kedudukannya sebagai institusi prauniversiti bagi meningkatkan imej dan pengiktirafan terhadap aliran berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk sistem pengurusan, skim perkhidmatan guru dan keperluan pelajar.

Menurutnya, walaupun sebelum ini Tingkatan Enam diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pelaksanaannya memerlukan penelitian lebih mendalam.

"Saya akan kemukakan semula supaya yang pentingnya Tingkatan Enam itu jangan dijadikan sebahagian daripada sekolah, tetapi mempunyai sentimen prauniversiti.

"Kalau pun dalam satu sekolah, Tingkatan Enam itu harus ada blok berasingan dan kemudian minta pengetua urus ini sebagai satu projek yang berasingan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada Januari lalu, Anwar mengumumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih keseluruhan sistem pra-universiti atau Tingkatan Enam dan matrikulasi bermula tahun 2027.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 berkata KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun ini.

Katanya, pengambilalihan itu secara rasmi meletakkan kedua-dua aliran berkenaan sebagai sebahagian daripada pendidikan tinggi negara.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pelajar Tingkatan Enam juga tidak sepatutnya dianggap sebagai sebahagian daripada pelajar sekolah menengah biasa, sebaliknya diberi pengiktirafan sebagai kumpulan pasca sekolah yang sedang mengikuti pendidikan prauniversiti.

"Jangan dimasukkan dalam perhimpunan sekolah. Biar perhimpunan itu untuk sekolah sehingga Tingkatan 5 dan Tingkatan Enam diberi pengiktirafan khas sebagai satu bahagian khas walaupun berada dalam kawasan sekolah yang sama," jelas beliau.

Anwar berkata, pengasingan itu meliputi aspek blok pembelajaran, pengurusan serta disiplin supaya pelajar benar-benar merasai suasana pendidikan prauniversiti.

"Jadi buat sementara ini biar kekal dulu di Kementerian Pendidikan.

"Kita boleh kaji semula selepas beberapa tahun pelaksanaan sekiranya perlu, tetapi buat masa sekarang saya putuskan supaya prauniversiti Tingkatan Enam ini masih di bawah Kementerian Pendidikan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengumumkan lebih 30,000 pelajar Tingkatan 6 akan menerima Bantuan Am Persekolahan (BAmP) RM150 yang sebelum ini hanya dinikmati murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum rungutan pelajar Tingkatan Enam yang sebelum ini tercicir daripada skim bantuan berkenaan.

 


 

Lebih 31,000 pelajar Tingkatan 6 miskin tegar terima BAmP RM150

PUTRAJAYA – Kerajaan memperluaskan Bantuan Am Persekolahan (BAmP) di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada pelajar Tingkatan 6 daripada keluarga miskin tegar, membabitkan peruntukan RM4.69 juta pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada lebih 31,000 pelajar Tingkatan 6 dengan peruntukan keseluruhan RM4.69 juta.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas yang diterima daripada pelajar Tingkatan 6 ketika beliau turun padang.

"Kita bagi wang saku RM150 kepada murid Tahun Satu sehingga Tingkatan 5, jadi Tingkatan 6 terlepas.

"Jadi untuk murid Tingkatan 6, kita akan berikan bantuan yang sama. Jadi selesai," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan (KPM) di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

BAmP merupakan antara bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang diwujudkan bagi membantu murid daripada keluarga miskin dan miskin tegar meneruskan persekolahan serta mengurangkan risiko keciciran pendidikan.

Selain BAmP, KWAPM turut menyediakan Bantuan Kecemasan (BK) kepada murid yang memenuhi syarat kelayakan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved