
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Red, syarikatnya, ADN Properties Sdn. Bhd. dan seorang pemilik tanah membayar lebih RM1.4 juta kepada 17 individu.
Ia selepas Mahkamah Sesyen di sini mendapati berlaku penipuan melalui satu siri representasi dan penyembunyian fakta terhadap 17 pembeli melibatkan lot tanah di Sungai Semungkis, Hulu Langat, Selangor.
Keputusan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Fatimah Talib itu selepas membenarkan saman dikemukakan oleh plaintif terdiri daripada 12 lelaki dan lima wanita yang merupakan pembeli lot tanah.
Selain Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adenan Abu dan syarikat ADN Properties Sdn. Bhd. turut dinamakan sebagai defendan ialah pemilik tanah, Hasmy Abu Hassan.
Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga defendan itu, sama ada secara bersama atau berasingan, membayar semula harga belian berjumlah RM1.4 juta kepada semua plaintif.
Selain itu, Adenan dan ADN Properties turut diperintah membayar ganti rugi teladan sebanyak RM170,000 kepada kesemua plaintif.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Siti Fatimah berkata, syarikat terbabit yang operasi urus niaganya dikawal Adenan telah memasuki perjanjian jual beli induk dengan pemilik asal bagi memperoleh tanah berharga RM1.8 juta.
Bagaimanapun katanya, hak milik tanah tersebut tidak pernah dipindahkan kepada ADN Properties selain harga belian induk yang tidak dijelaskan sepenuhnya.
“ADN Properties melalui ejen-ejennya dan Adenan menggambarkan bahawa ADN ialah pemilik atau tuan punya tanah itu mempunyai hak nyata untuk menjual lot tertentu dan mampu membina milik lot tersebut dalam tempoh yang dinyatakan dalam SPA (Perjanjian Jual Beli).
“Fakta material yang tidak didedahkan sepenuhnya ialah ADN bukan pemilik berdaftar, harga belian tanah induk belum selesai, urusan pusaka dan kelulusan tanah belum sempurna dan ADN belum berada dalam kedudukan untuk menjamin pindah milik lot tertentu,” katanya.
Tambahnya, syarikat itu turut gagal menunaikan tanggungjawab apabila menerima bayaran penuh daripada pembeli tetapi tidak menyerahkan hak milik lot tanah seperti dijanjikan atau memulangkan semula wang yang diterima.
Kata hakim itu, Adenan dipertanggungjawabkan bukan semata-mata kerana beliau pengarah syarikat, sebaliknya kerana beliau memainkan peranan utama dalam urusan tersebut.
“Beliau pelaku aktif yang mengawal syarikat, menandatangani perjanjian jual beli, mengetahui hak milik dan pembayaran induk belum sempurna, terus menjual lot dan tidak memulangkan wang yang diterima dari plaintif.
“Representasi bahawa ADN mampu menyampaikan lot dibuat sekurang-kurangnya secara melulu tanpa peduli. Susulan itu ‘tort dispute’ iaitu pertikaian undang-undang sivil akibat perbuatan salah telah dibuktikan terhadapnya,” katanya.
Pada prosiding hari ini, kesemua plaintif diwakili peguam bela, Bhavanash Sharma.
Sebelum ini, tindakan sivil difailkan oleh dua individu terhadap Adenan yang juga suami kepada penyanyi Adira, atas dakwaan menipu melibatkan kes jual beli tanah rizab Melayu di Hulu Langat, Selangor.
Ia selepas pembeli menandatangani enam perjanjian jual beli sekitar Januari 2016 dan membuat bayaran penuh sebanyak RM234,000 kepada akaun bank ADN Properties Sdn. Bhd.
Plaintif mendakwa bahan promosi menggambarkan tanah berkenaan sebagai sesuai untuk pembangunan kediaman, dengan kemudahan seperti surau, sekolah dan pusat rekreasi.
Mereka juga mendakwa telah dimaklumkan bahawa status tanah pertanian boleh ditukar kepada pembangunan dengan bayaran tambahan RM1.50 bagi setiap kaki persegi.
Namun carian tanah yang dikemukakan dalam prosiding menunjukkan bahawa tanah tersebut masih didaftarkan atas nama pemilik asal dan tidak pernah dipindah milik kepada ADN Properties. – UTUSAN
The post Tipu tanah: Datuk Red, syarikat diperintah bayar RM1.4 juta appeared first on Utusan Malaysia.





