Titah Sultan Selangor peringatan penting hayati Rukun Negara

LocalPolitics
20 May 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Titah Sultan Selangor peringatan penting hayati Rukun Negara
Rukun Negara lahir susulan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 sekali gus mengingatkan rakyat untuk mengekalkan perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

TITAH Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa wajar dilihat daripada sudut lebih besar iaitu kepentingan menghayati prinsip Rukun Negara dan menghormati institusi Raja dalam sistem negara.

Dalam suasana politik yang semakin terbuka dan pantas dipengaruhi media sosial, setiap kenyataan melibatkan institusi diraja perlu ditangani secara berhemah dan penuh tanggungjawab.

Apa yang lebih penting, titah baginda bukan sekadar menjawab isu semasa, sebaliknya menjadi peringatan kepada semua pihak supaya memahami asas pembinaan negara sejak merdeka.

Titah baginda menyatakan bahawa Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan semasa darurat telah merangka konsep Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan demi memperkukuh perpaduan antara kaum di negara ini.

Rukun Negara lahir susulan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 sekali gus mengingatkan rakyat untuk mengekalkan perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara membawa makna besar dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia.

Institusi Raja bukan sekadar simbol tradisi, malah berperanan sebagai payung penyatuan rakyat serta elemen penting dalam memastikan kestabilan dan keharmonian negara terus terpelihara.

Perbezaan pandangan dalam demokrasi adalah perkara biasa, namun ia perlu disampaikan dengan tertib serta tidak menimbulkan ketegangan yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.

Titah Sultan Selangor juga boleh dilihat sebagai ruang muhasabah kepada semua pihak bahawa kebebasan bersuara perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab dan kefahaman terhadap batas Perlembagaan.

Pada masa sama, isu ini membuka kembali perbincangan mengenai kepentingan pendidikan sivik khususnya dalam kalangan generasi muda agar mereka memahami struktur negara dan peranan setiap institusi.

Penghayatan terhadap Rukun Negara juga tidak seharusnya terbatas kepada bacaan rasmi di sekolah atau majlis tertentu semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam tindakan harian.

Titah baginda membawa mesej jelas bahawa keharmonian negara dapat dipertahankan apabila semua pihak menghormati Perlembagaan, institusi Raja dan semangat perpaduan yang menjadi asas Malaysia sejak sekian lama.