BEBERAPA minggu kebelakangan ini, suara-suara yang biasanya tenang mula berbunyi keras, dan tegas. Bukan suara pembangkang jalanan. Bukan juga suara ahli politik yang mencari perhatian. Sebaliknya, suara itu datang daripada institusi yang jarang sekali menyentuh isu fiskal secara terbuka - istana negeri.
Baru-baru ini, dalam Titah Diraja sempena Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat DUN Pahang ke-15, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan rasa kecewa apabila usaha negeri untuk menambah hasil tidak diluluskan kerajaan Persekutuan. Baginda berpantun penuh makna apabila gesaan diambil cakna.
Tidak lama sebelum itu, pada 30 April 2026, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengulangi gesaan agar 25 peratus hasil cukai yang dikutip di Johor dipulangkan kepada negeri.
Di Kedah pula, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan tekad untuk memperjuangkan permohonan insentif fiskal sebanyak RM200 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan sebagai pampasan terhadap pengorbanan mengekalkan kawasan tanaman padi dan hutan tadahan air di negeri itu.
Menteri Besar menegaskan tuntutan RM200 juta setahun bukan “meminta duit percuma”, tetapi tuntutan munasabah kerana negeri menanggung tanggungjawab besar menjaga sumber air negara.
Tiga suara. Tiga negeri. Tetapi satu mesej yang sama.
Sistem federalisme fiskal Malaysia sedang menghadapi tekanan serius.
Ini bukan isu kecil. Ini bukan sekadar pertikaian peruntukan atau permainan politik antara pusat dan negeri. Ini soal keseimbangan kuasa dalam Persekutuan Malaysia.
Ini soal keadilan fiskal. Ini soal kemampuan negeri untuk membangun secara bermaruah dan berdaya tahan.
Lebih penting, apabila institusi diraja sendiri mula menyentuh isu hasil negeri dan ketidakseimbangan fiskal, ia menunjukkan masalah ini sudah mencapai tahap yang sukar diabaikan.
Dalam tradisi politik Malaysia, istana lazimnya sangat berhati-hati dalam isu dasar ekonomi dan hubungan fiskal. Maka apabila suara seperti ini muncul secara terbuka, ia memberi isyarat bahawa keresahan terhadap struktur semasa semakin mendalam.
Hakikatnya, masalah ini sudah lama wujud. Tetapi hari ini ia semakin ketara.
Malaysia ialah sebuah Persekutuan pada nama dan struktur perlembagaan. Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberi negeri kuasa terhadap tanah, air, hutan dan beberapa sumber penting lain.
Namun dalam praktik fiskal, kebanyakan hasil besar dikawal kerajaan Persekutuan. Cukai pendapatan, cukai korporat, kastam, eksais dan pelbagai levi strategik dikumpulkan di pusat.
Negeri pula bergantung kepada hasil tanah, premium, pembalakan dan geran daripada Persekutuan. Semua hasil ini adalah jauh lebih kecil. Akibatnya, wujud ketidakseimbangan fiskal yang serius. Negeri memiliki sebahagian tanggungjawab pembangunan, tetapi tidak mempunyai kapasiti kewangan yang setara.
Inilah paradoks federalisme Malaysia.
Sebuah negeri boleh bekerja keras menarik pelabur asing. Negeri menyediakan tanah industrI dan membina infrastruktur asas. Negeri juga meluluskan pelbagai urusan teknikal.
Bahkan negeri juga menanggung kesan sosial dan alam sekitar daripada pembangunan tersebut. Tetapi apabila kilang besar dibina dan ekonomi berkembang, sebahagian besar hasil cukai akhirnya masuk ke kantung Persekutuan.
Negeri memperoleh manfaat yang jauh lebih kecil daripada nilai ekonomi sebenar yang dijana dalam wilayah mereka sendiri.
Dalam jangka pendek, keadaan ini mungkin masih boleh ditampung melalui geran dan bantuan pusat.
Tetapi dalam jangka panjang, pergantungan berlebihan kepada Persekutuan melemahkan kemampuan negeri untuk merancang pembangunan secara strategik dan berterusan.
Pembangunan ekonomi memerlukan kestabilan fiskal. Negeri perlu mempunyai keyakinan terhadap sumber kewangan sendiri untuk merancang pelaburan jangka panjang, membina infrastruktur moden, memperkukuh pendidikan teknikal, mengurus bandar dan meningkatkan daya saing ekonomi.
Jika negeri terlalu bergantung kepada ihsan pusat, perancangan jangka panjang menjadi lemah dan tidak menentu.
Lebih membimbangkan, struktur semasa juga membuka ruang kepada ketidakseimbangan politik.
Kajian IDEAS mengenai hubungan Persekutuan-negeri menunjukkan pengagihan sumber di Malaysia sering dipengaruhi pertimbangan politik dan hubungan dengan kerajaan pusat.
Kajian itu juga menjelaskan bagaimana agensi Persekutuan berperanan besar dalam menyalurkan sumber pembangunan terus ke negeri dan kawasan tertentu, kadangkala tanpa bergantung sepenuhnya kepada struktur kerajaan negeri.
IDEAS turut menyifatkan keadaan ini sebagai sebahagian daripada “politico-bureaucratic complex” yang menjadikan pengagihan sumber sangat dipengaruhi kuasa pusat.
Lebih penting lagi, laporan tersebut memberi amaran bahawa ketidakpastian fiskal dan kebergantungan negeri kepada pusat boleh menjejaskan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negeri-negeri.
Perbandingan bajet tahunan juga memperlihatkan jurang yang sangat besar.
Bajet Persekutuan mencecah ratusan bilion ringgit setiap tahun, sedangkan kebanyakan negeri hanya mempunyai belanjawan beberapa bilion sahaja. Ada negeri yang terpaksa bergelut mengurus pembangunan asas walaupun menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara.
Dalam banyak negara federal lain, keadaan jauh lebih seimbang.
Di Jerman, Australia dan Kanada misalnya, negeri atau wilayah mempunyai akses lebih luas kepada sumber hasil dan mekanisme perkongsian cukai yang lebih tersusun.
Kerajaan subnasional mempunyai ruang fiskal lebih besar untuk membangunkan ekonomi wilayah masing-masing. Federalisme mereka tidak sempurna, tetapi negeri tidak terlalu lemah dari sudut kewangan.
Malaysia pula masih mewarisi model yang sangat berpusat, dan realiti itu semakin mencengkam – hingga mendorong suara-suara dari institusi istana.
Kerajaan Persekutuan kelihatan sedar tentang isu ini, tetapi setakat ini reformasi yang benar-benar menyeluruh masih belum kelihatan. Perbincangan tentang desentralisasi dan reformasi federalisme sudah berulang kali dibangkitkan — oleh ahli akademik, kerajaan negeri, masyarakat sivil, malah kini oleh institusi diraja. Namun tindakan drastik masih belum berlaku.
Kita tidak boleh terus melihat isu ini sebagai tuntutan politik sempit negeri tertentu. Ini bukan soal Johor semata-mata. Bukan soal Kedah atau Pahang sahaja. Ini soal masa depan struktur Persekutuan Malaysia.
Hasil negeri berkait rapat dengan hak rakyat yang memilih kerajaan negeri mereka. Apabila rakyat memilih sebuah kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi tempatan, menyediakan kemudahan awam dan meningkatkan kesejahteraan wilayah, kerajaan negeri itu mesti mempunyai kemampuan fiskal yang munasabah untuk melaksanakan mandat tersebut Tanpa kekuatan fiskal, autonomi negeri hanya tinggal simbol.
Sudah tiba masanya reformasi federalisme fiskal diberi perhatian serius. Formula perkongsian hasil perlu dikaji semula. Negeri perlu diberikan ruang lebih besar untuk menjana pendapatan sendiri. Mekanisme pengagihan mesti lebih telus, stabil dan tidak terlalu bergantung kepada pertimbangan politik semasa.
Malaysia memerlukan federalisme yang lebih matang dan seimbang. Jika tidak, suara-suara keresahan dari negeri-negeri akan terus membesar. Dan apabila suara itu semakin datang daripada institusi yang selama ini memilih untuk berhati-hati, kerajaan Persekutuan wajar memahami bahawa isu ini bukan lagi rungutan biasa. Ia sudah menjadi persoalan asas tentang keadilan dalam Persekutuan Malaysia.
* Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof Ialah pensyarah di Pusat Pengajian Polisi Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur





