
Selama hampir sedekad, nama Todak cukup sinonim dengan dunia e-sukan, khususnya menerusi penglibatannya dalam arena permainan kompetitif tempatan.
Namun, tahun ini jenama berkenaan membawa identitinya keluar daripada skrin permainan dan memasuki ruang kreatif yang berbeza apabila membuat penampilan sulung di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.
Menerusi label gaya hidupnya, Cultured by Todak, debut tersebut menyaksikan mereka memperkenalkan koleksi BattleScars, sekali gus menandakan satu fasa baharu buat Todak selepas bertahun-tahun membina nama dalam industri e-sukan.
Bagi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Todak Holdings, Khairul Azlan Zainal Ariffin atau juga dikenali sebagai Bro Lan Todak, kemunculan di KLFW bukan keputusan yang dibuat secara tiba-tiba, sebaliknya merupakan sebahagian daripada peralihan yang sudah dirancang sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, penyertaan itu cukup bermakna kerana menjadi antara langkah terbesar Todak dalam memperkenalkan hala tuju baharu kepada khalayak.
“Saya sangat teruja kerana ini satu movement yang sudah lama kami nantikan dan satu transisi yang sebenarnya telah dirancang selama bertahun-tahun,” katanya.
Peralihan tersebut bagaimanapun tidak bermakna Todak mahu meninggalkan terus identiti yang membesarkan namanya.
Sebaliknya, pengalaman dalam industri e-sukan menjadi antara elemen utama yang dibawa bersama dalam pembentukan Cultured by Todak. Ia dapat dilihat menerusi pemilihan nama BattleScars bagi koleksi yang dipersembahkan pada KLFW kali ini.
Menurut Azlan, nama tersebut menggambarkan perjalanan jatuh bangun Todak sepanjang membina jenama berkenaan sehingga meninggalkan ‘parut’ yang cukup besar dalam perjalanan mereka.
Pada masa sama, ia turut menjadi simbol kepada DNA e-sukan yang mahu terus dibawa oleh pihaknya meskipun kini bergerak dalam dunia fesyen.
“BattleScars melambangkan jatuh dan bangunnya Todak yang meninggalkan parut yang besar. Tetapi Cultured by Todak masih membawa DNA e-sukan ke dalam dunia fesyen. Ini yang kami cuba bawakan,” jelasnya.
Menariknya, kemunculan Todak dalam dunia fesyen juga tidak dilihat sebagai usaha untuk bergerak secara bersendirian. Sebaliknya, Azlan mahu menggunakan platform tersebut untuk membina hubungan dan kerjasama dengan pemain industri tempatan.
Antaranya menerusi kerjasama dengan jenama streetwear tempatan, SVG Worldwide. Malah, pengasasnya, Ashraf Anuar turut diundang berjalan di pentas peragaan bersama mereka ketika pertunjukan tersebut.
Bagi Azlan, langkah berkenaan membawa mesej bahawa kehadiran Todak bukan untuk bersaing, sebaliknya mahu menambah warna dalam landskap fesyen tempatan.
“Kerjasama dengan jenama pakaian lokal terkenal seperti SVG Worldwide bukanlah untuk bersaing, tetapi untuk menambah flavour dalam dunia fesyen.

“Apabila kami menjemput pengasas SVG Wordwide, Ashraf untuk berjalan di pentas peragaan, kami melihatnya sebagai satu kerjasama bersama. Kami juga terbuka untuk bekerjasama dengan jenama-jenama lain pada masa akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, hubungan Todak dengan dunia e-sukan masih diteruskan menerusi cabang perniagaan yang berbeza apabila mereka kini turut bertindak sebagai official merchandiser untuk beberapa jenama dan pasukan e-sukan.
Pengalaman menguruskan organisasi e-sukan sebelum ini, kata Azlan, membuatkan mereka memahami cabaran yang dihadapi sesebuah pasukan apabila mahu membangunkan barangan rasmi atau merchandise sendiri.
Sebagai jenama gaya hidup yang mempunyai akar dalam e-sukan, pengalaman tersebut mahu dikongsi dengan pasukan lain bagi membantu mereka menghasilkan produk yang bukan sahaja membawa identiti pasukan, tetapi mempunyai nilai dari segi rekaan dan gaya.
“Kami faham masalah yang dihadapi pasukan apabila melibatkan merchandising.
“Jadi, kami mahu berkongsi pengalaman bersama pasukan-pasukan e-sukan supaya kita boleh sama-sama mengeluarkan produk untuk pasukan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cultured by Todak, Nurul Hakimie Haque Fazlul Haque berkata, mereka turut menyasarkan komuniti e-sukan khususnya kelompok yang disifatkan sebagai fashionable gamers.
Jelasnya, mereka mahu mengubah persepsi bahawa identiti seorang pemain permainan video hanya terhad kepada dunia di hadapan komputer, sebaliknya golongan itu juga mempunyai minat, gaya serta cara tersendiri untuk mengekspresikan kreativiti.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan gamers lebih fashionable. Ia bukan sekadar meraikan streetwear, tetapi juga celebrate culture. Gamers bukan sekadar mengekspresikan diri di dalam permainan, tetapi kami juga mahu mereka mengekspresikan kreativiti menerusi pemakaian,” katanya.
Justeru, kemunculan Cultured by Todak di KLFW 2026 boleh dilihat sebagai lebih daripada sekadar debut sebuah jenama baharu di pentas peragaan. Ia menjadi titik pertemuan antara dua dunia yang selama ini kelihatan berbeza, namun berkongsi elemen sama iaitu komuniti, kreativiti dan identiti.
Jika dahulu Todak membina komuniti menerusi pasukan, kejohanan dan budaya permainan kompetitif, kini pengalaman tersebut diterjemahkan menerusi pakaian serta produk gaya hidup.
Daripada arena e-sukan ke pentas KLFW, langkah itu menunjukkan mereka mungkin sudah mengubah medan permainannya, namun budaya yang membentuk jenama tersebut masih menjadi asas kepada perjalanan seterusnya.
The post Titik pertemuan dunia e-sukan dan fesyen appeared first on Kosmo Digital.






