TM Global lancar Stesen Pendaratan Kabel ke-5 di Morib

LocalTechnology
25 Sep 2025 • 12:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TM Global lancar Stesen Pendaratan Kabel ke-5 di Morib

image is not available

25/09/2025 - 12:55

Stesen pendaratan kabel TM Global di Morib, Selangor Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept – TM Global, cabang perniagaan Telekom Malaysia Bhd (TM) melancarkan stesen pendaratan kabel (CLS) ke-5 di Morib, Selangor dalam usahanya memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital strategik di rantau ini.

CLS Morib seluas 7,000 kaki persegi itu merupakan stesen terbuka pertama di Selat Melaka, membolehkan pelbagai penyedia perkhidmatan saling berhubung dan menyediakan pertukaran trafik data dengan lebih lancar.

Ia turut disokong oleh Pusat Operasi Rangkaian (NOC) khusus yang beroperasi 24 jam bagi memastikan kebolehpercayaan dan kualiti rangkaian.

Naib Presiden Eksekutif TM Global, Khairul Liza Ibrahim berkata, kedudukan strategik CLS Morib di Selat Melaka iaitu antara laluan kabel dasar laut terpenting dunia.

“Stesen ini menyediakan sambungan antarabangsa terus dengan pelbagai laluan dan masa tindak balas yang rendah (reduce latency).

“Lokasinya yang dekat dengan pusat data di Lembah Klang turut menyokong integrasi rangkaian yang lancar seterusnya mengoptimumkan penghantaran data,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

image is not available

CLS Morib direka bentuk untuk menyokong sehingga tiga sistem kabel dasar laut termasuk Sea-Me-We 6, selain menampilkan ciri kemampanan seperti sistem penyejukan jimat tenaga dan lampu jalan solar.

Selaras dengan aspirasi TM menjadi kuasa digital utama menjelang 2030, TM Global juga sedang memperluas kapasiti pusat data dan kemudahan Edge hingga 40MW.

Selain itu, ia turut membangunkan pusat data baharu berkapasiti sehingga 200MW bersama Nxera milik Singtel yang direka untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI).

TM kini memiliki dan menyewa 33 sistem kabel dasar laut yang meliputi lebih 275,000 kilometer di seluruh dunia dan komited menyediakan prestasi perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggannya.

Baru-baru ini, TM Global dinobatkan sebagai ‘Telecom Company of the Year – Malaysia’ buat kali ketiga berturut-turut pada Asian Telecom Awards 2025 dan buat julung kali turut meraih anugerah ‘Infrastructure Initiative of the Year – Malaysia’. - DagangNews.com

standard