TNB tanggung kos AFA RM150 juta, risiko kawal selia jadi perhatian pelabur - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 11:12 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB tanggung kos AFA RM150 juta, risiko kawal selia jadi perhatian pelabur - Penganalisis Image from: TNB tanggung kos AFA RM150 juta, risiko kawal selia jadi perhatian pelabur - Penganalisis hamden22/09/2026 - 11:12 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept - Komitmen Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk menanggung kos surcaj bahan api antara RM120 juta hingga RM150 juta susulan peluasan perlindungan bil elektrik kerajaan dijangka memberi kesan sederhana terhadap pendapatan FY26, namun menimbulkan kebimbangan mengenai risiko kawal selia sekiranya langkah itu berlanjutan selepas 2026.

 

CIMB Securities berkata pihaknya mengurangkan anggaran keuntungan bersih teras (CNP) TNB bagi FY26 sebanyak 2%, mengambil kira kos tambahan RM150 juta untuk menyerap caj pelarasan bahan api automatik (AFA) dan caj runcit bagi kumpulan pengguna kediaman yang diperluaskan dari September hingga Disember 2026.

 

“Walaupun kesan segera terhadap CNP adalah kecil dan sasaran harga saham tidak berubah, pelabur mungkin bimbang TNB perlu menanggung kos lebih tinggi sekiranya harga bahan api kekal tinggi selepas 2026 dan kerajaan meneruskan inisiatif pengecualian AFA yang diperluaskan,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Menurut CIMB Securities, anggaran CNP bagi FY27 hingga FY28 sebahagian besarnya tidak berubah.

 

Bagaimanapun, sekiranya TNB perlu menanggung lebih banyak subsidi selepas 2026, keadaan itu berisiko menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kebolehramalan pulangan terkawal syarikat di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

 

CIMB Securities mengekalkan saranan 'BELI' terhadap TNB dengan sasaran harga RM15.90 sesaham.

 

Tindak balas sementara, bukan penyimpangan IBR

Sementara itu, CGS International (CGSI) berkata, langkah TNB menyerap kos RM120 juta hingga RM150 juta susulan peluasan perlindungan bil elektrik kerajaan dilihat sebagai tindak balas sementara terhadap tempoh cuaca panas luar biasa, bukannya penyimpangan struktur daripada IBR.

 

Firma penyelidikan berkata, rekod terdahulu menunjukkan mekanisme pindahan kos bahan api TNB kekal utuh, termasuk ketika syarikat berdepan kejutan harga bahan api susulan konflik Rusia-Ukraine pada 2022.

 

“Langkah semasa dilihat sebagai bantuan sementara kepada pengguna, sama seperti inisiatif ketika COVID-19, susulan lonjakan permintaan yang dipengaruhi cuaca, dan bukannya TNB menyerap kos bahan api yang lebih tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan. 

 

CGSI menambah, walaupun komitmen tersebut bukan sesuatu yang sesuai daripada perspektif pemegang saham, langkah TNB itu mencerminkan usaha tanggungjawab sosial korporat bagi membantu rakyat berdepan peningkatan bil elektrik.

 

CGSI menganggarkan penyerapan AFA akan memberi kesan sekali sahaja dan boleh diurus, dengan mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) TNB bagi FY26 sekitar 3%, dengan sebahagian besar kesan tersebut diiktiraf pada suku keempat tahun kewangan berkenaan.

 

Parameter kawal selia perlu dikekalkan

CGSI turut berkata penurunan RM3.5 bilion dalam permodalan pasaran TNB pada minggu lalu menjelang pengumuman kerajaan pada 17 September menunjukkan pasaran mungkin mengambil kira kebimbangan kawal selia yang melangkaui kesan sederhana terhadap pendapatan.

 

Menurutnya, perkara itu mengukuhkan kepentingan untuk mengekalkan pulangan dan parameter kawal selia yang sewajarnya di bawah RP5.

 

“Ini membolehkan TNB mengekalkan kapasiti kewangan untuk menyokong negara apabila diperlukan, di samping membiayai perbelanjaan modal penghantaran dan pengagihan (T&D) yang besar bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik serta memperkukuh grid untuk mencapai aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia,” katanya.

 

Susulan itu, CGSI melihat penurunan harga saham TNB baru-baru ini sebagai peluang kemasukan dan mengekalkan penarafan 'tambah' dengan sasaran harga RM16.60.

 

Masa kumpul saham

Bagi RHB Research pula, firma itu berkata saham TNB telah terlebih jual selepas harga saham susut 12% daripada paras tertinggi baru-baru ini.

 

“Kami menasihatkan pelabur mengumpul saham ketika harga melemah kerana kami menjangkakan pendapatan akan meningkat pada separuh kedua tahun kewangan ini,” katanya.

 

RHB Research berkata komitmen TNB itu hanya mewakili 2% hingga 3% daripada unjuran pendapatan FY26, sekali gus menjangkakan kesannya terhadap ramalan pendapatan adalah minimum. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved