hamden21/09/2026 - 09:28 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept - Pelabur disaran mengumpul saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) ketika harga mengalami kelemahan susulan penurunan 12% daripada paras tertinggi terbaharu, dengan prospek pendapatan dijangka bertambah baik pada separuh kedua FY2026, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan BELI terhadap TNB dengan harga sasaran (TP) RM16.50, yang memberikan potensi kenaikan 27% serta hasil FY2026F sekitar 4%.
Menurut firma berkenaan, TNB dijangka mencatatkan pendapatan lebih kukuh pada separuh kedua FY2026, disokong penurunan kadar cukai efektif (ETR) kepada 18% pada suku keempat.
“Penurunan ETR itu dijangka lebih daripada mengimbangi peruntukan bagi subsidi elektrik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Walaupun firma berkenaan tidak menolak kemungkinan peruntukan subsidi dilanjutkan ke FY2027, ia berkata Suruhanjaya Tenaga menjangkakan harga arang batu yang berkaitan kekal stabil pada AS$122 satu tan sehingga akhir tahun, berbanding AS$131 satu tan pada bulan lalu.
Pada masa sama, harga gas Tier-2 dijangka kekal pada RM59/mmBtu, iaitu turun 17% daripada paras tertinggi pada Jun.
Firma itu turut melihat potensi kerajaan menyalurkan dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mensubsidi kos bahan api. Ia menganggarkan baki KWIE sebanyak RM1.7 bilion.
Unjuran pendapatan tidak berubah
Dari segi unjuran, RHB Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY2026-2027F TNB.
Harga sasaran RM16.50, termasuk diskaun ESG sebanyak 4%, ditetapkan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY2026 sebanyak 19 kali, iaitu +1 sisihan piawai (+1SD) berbanding purata tiga tahun saham berkenaan.
Firma itu berkata premium penilaian tersebut disokong kedudukan TNB sebagai penerima manfaat utama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), selain rangka kerja kawal selia yang menyediakan asas pendapatan stabil.
Sekiranya ETR TNB dikekalkan pada 23% tahun ini berbanding andaian asas semasa sebanyak 26%, firma itu menganggarkan keadaan berkenaan berpotensi memberikan kenaikan 4% kepada TP dan unjuran EPS.
Mengenai peruntukan antara RM120 juta hingga RM150 juta bagi menampung kos bahan api tambahan untuk lebih banyak isi rumah bagi tempoh September hingga Disember 2026, RHB Research berkata peruntukan itu bersamaan 2-3% daripada anggaran pendapatan FY2026 TNB.
Ini sekali gus katanya, dijangka memberi kesan minimum terhadap unjuran kewangan TNB.
“Peruntukan RM120 juta hingga RM150 juta itu akan membantu menampung pelarasan bahan api automatik (AFA) bulanan, caj runcit dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi 8 juta pengguna domestik yang menggunakan antara 600 hingga 800kWj elektrik sebulan.
“Sebelum ini, pengecualian berkenaan hanya diberikan kepada pengguna yang menggunakan kurang daripada 600kWj elektrik sebulan,” katanya. - DagangNews.com





